Belia Cina Patut Sertai PDRM Susulan Kriteria Baharu Pengambilan - MCA

Diterbitkan: Rabu, 9 April 2014 11:42 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA menggesa belia Cina memanfaatkan peluang untuk menyertai pasukan polis susulan syarat baharu dikenakan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan jumlah anggota polis daripada kaum Cina.

Pengerusi Biro Publisiti MCA Wilayah Persekutuan Lau Chin Kok berkata menyertai polis boleh dianggap sebagai kerja 'terjamin' dan belia Cina akan dapat menikmati pencen selepas bersara.
 
Pasukan polis sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah anggota polis Cina sebanyak tiga kali ganda daripada jumlah sekarang, atau 5,000 pegawai, untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

"Ia merupakan situasi yang tidak sihat untuk hanya mempunyai 1.78 peratus kaum Cina dalam pasukan polis, yang lebih rendah daripada jumlah pegawai India (3.6 peratus)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bermula 3 Mac, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk melonggarkan kriteria pengambilan bagi kaum Cina.

Pemohon yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia dengan lulus Bahasa Malaysia (BM) dan dua kepujian dan empat lulus dalam subjek lain kini boleh memohon kerja dengan PDRM, bagi mereka yang gagal kertas BM, boleh menduduki semula peperiksaan dalam tiga tahun.

Pengambilan akan tamat 30 April dan mereka yang mempunyai kelayakan itu boleh memohon menerusi Internet, atau mana-mana balai polis.

"Pada masa lepas, ramai ibu bapa Cina membantah anak mereka bekerja sebagai pegawai polis kerana kerja itu berisiko dan imej negatif terhadap pasukan itu seperti rasuah dan salah guna kuasa," kata Lau.

Bagaimanapun, dengan banyak pegawai polis Cina yang menyatakan ia adalah kerja yang mempunyai prospek baik, saya menggesa ibu bapa supaya mengubah persepsi mereka dan menggalakkan anak mereka untuk menyertai PDRM, katanya.

Lau juga berkata Pemuda MCA akan mengadakan taklimat mengenai pengambilan itu pada Sabtu (12 April) pada 2.30 petang di Wisma MCA di sini. 

Mereka yang berminat perlu membawa salinan kad pengenalan, sijil kelahiran dan sijil SPM untuk berinteraksi dengan pegawai pengambilan dan mengemukakan permohonan mereka.

Untuk maklumat lanjut, hubungi sekretariat Pemuda MCA di talian 03-22033865/3866. 

Borang permohonan boleh dimuat turun di www.rmp.gov.my dan mana-mana balai polis.
Tags / Kata Kunci: PDRM , MCA , belia Cina

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan