Hak Milik Tanah Kuin Belum Dipindah Milik Kepada Kerajaan Kedah - Ketua Audit

Diterbitkan: Selasa, 8 April 2014 2:36 PM

Kampus Kuin yang terletak di Kuala Kedah.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 mendedahkan hak milik tanah kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil, Baling masih belum dipindah milik kepada kerajaan negeri Kedah sekalipun kos pembelian telah dilunaskan.

Laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat semalam, menyatakan kerajaan negeri menyelesaikan pembayaran berjumlah RM15 juta kepada Darulaman Realty Sdn Bhd dalam tempoh dua tahun selepas perjanjian ditandatangani.

"Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Kedah Bilangan 15/2010 bersetuju bahawa tanah seluas 320 ekar yang dibeli oleh kerajaan negeri dengan harga nilaian berjumlah RM15 juta perlu didaftarkan di atas nama State Secretary Incorporated (SSI).

"Pindah milik tanah kepada kerajaan negeri masih belum dibuat. Kesannya, kerajaan negeri tidak mempunyai hak selaku tuan tanah," kata laporan itu.

Unit Perancangan Ekonomi negeri (UPEN) dalam maklum balas kepada Ketua Audit Negara pada 12 Jan 2014, menyatakan proses pindah milik itu akan dilakukan sebelum hujung tahun ini.

Selain itu, lawatan Audit ke kampus Kuin di Kuala Ketil pada 11 Disember 2013 mendapati terdapat tiga bangunan belum digunakan iaitu bangunan Muamalat/Multimedia Kreativiti, Tahfiz Al-Quran/Syariah dan Usuluddin/Bahasa Arab.

Menurut laporan itu, pihak Audit difahamkan bangunan terbabit kosong kerana pelajar bagi kursus berkenaan diarah berpindah kembali ke kampus Kuin di Alor Setar berikutan asrama pasang siap tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

"Selain itu, terdapat perabot dan peralatan pelajar di bangunan tersebut tidak digunakan sejak diterima pada Januari 2013.

"Pada pendapat Audit, kerajaan negeri melalui UPEN hendaklah mengemukakan arahan kepada Kuin bagi memastikan kemudahan yang telah disediakan diguna sepenuhnya dengan segera dan pihak Kuin juga perlu memastikan rekod berkaitan peralatan diselenggarakan dengan baik," katanya.

Ketua Audit Negara juga mengesyorkan supaya Kuin memastikan kemudahan bangunan yang dibina dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar bagi mengelak pembaziran.

Secara keseluruhannya pengauditan yang dijalankan antara September hingga Disember 2013 mendapati pembinaan kampus tetap Kuin adalah memuaskan kerana prosedur pembinaan dipatuhi, pembinaan dilaksana mengikut tempoh masa ditetapkan, Certificate of Completion (CCC) telah diperolehi pada 30 Jan 2013 serta keberkesanan pemantauan oleh UPEN dan Jabatan Kerja Raya.
Tags / Kata Kunci: Kuin , UPEN , ketua audit

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan