Najib, Abbott Lawat Pangkalan Udara Pearce

Diterbitkan: Khamis, 3 April 2014 9:16 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama rakan sejawatnya dari Australia Tony Abbott menghadiri taklimat ketika membuat lawatan ke pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce, Perth, pada Khamis. -foto EPA

(Ubah saiz teks)

PERTH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di sini pada Khamis, bagi meninjau lebih dekat operasi mencari pesawat Malaysia yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Beliau tiba di pangkalan itu kira-kira 7.30 pagi dan disambut Perdana Menteri Australia Tony Abbott. 

Mengiringi Najib ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Penasihat di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamaludin Jarjis, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Zainal Abidin Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tan Sri Rodzali Daud.

Pada Rabu, Zainal Abidin dalam sidang media dengan wartawan Malaysia berkata Najib dan Abbott akan diberikan taklimat kira-kira 40 minit mengenai misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 di pangkalan udara itu.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya dijadual bersarapan pagi dengan anggota pasukan mencari termasuk pasukan mencari dari Malaysia.

 Zainal Abidin berkata Najib dan Abbot kemudiannya akan ke Pusat Komanwel, Pejabat Perdana Menteri Australia, untuk bermesyuarat berhubung misi mencari MH370 dan berbincang tentang usaha memperkukuh hubungan dua hala.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. 
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth. 

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan