Perancis Jamin Terus Bantu Cari MH370

Diterbitkan: Rabu, 2 April 2014 2:06 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perancis memberi jaminan akan terus menyalurkan bantuan kepakaran dalam membantu operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata itu adalah antara perkara dimaklumkan Duta Besar Perancis ke Malaysia, Martine Dorance dalam pertemuan mereka pada Rabu.

Pandikar Amin berkata dalam pertemuan selama 35 minit itu, Dorance turut menzahirkan rasa simpati atas tragedi itu dan Paris amat memahami apa yang dirasai Malaysia memandangkan situasi hampir sama dilalui semasa tragedi pesawat Air France 447 pada 2009.

"Perancis berjanji akan terus memberi sokongan terhadap usaha Malaysia dan berdoa agar pesawat dijumpai segera," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Dorance di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Pandikar Amin berkata namun, Dorance menjelaskan bahawa amat sukar untuk Perancis menghantar asetnya ke Malaysia ekoran kedudukan geografi yang jauh.

"Kami juga turut berbincang mengenai pengalaman Perancis melalui tragedi Air France...dan kepakaran mereka yang mahir dalam bidang berkenaan akan digunakan bagi membantu usaha mencari MH370," katanya.

Pandikar Amin berkata Dorance juga menyatakan kekesalan dengan laporan media yang tidak tepat terhadap Malaysia berhubung kejadian pesawat MH370 yang hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu.

Dalam pertemuan itu juga, mereka turut membincangkan soal amalan sistem demokrasi dan pentadbiran negara ini.

"Jadi, saya menzahirkan pendapat bahawa negara luar yang mengamalkan sistem demokrasi matang, jangan membuat kayu pengukur bahawa apa yang diamalkan di negara luar itu semestinya boleh diamalkan di Malaysia.

Selain itu, wakil-wakil dari negara luar perlu memahami terlebih dahulu masalah dalam negara ini sebelum membuat kesimpulan negatif," katanya.


Tags / Kata Kunci: MH370 , MAS , Perancis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan