Tidak Ada Unsur Ketirisan Nyata Dalam Kelewatan KLIA2 - Nur Jazlan

Diterbitkan: Selasa, 1 April 2014 8:14 PM

Nur Jazlan Mohamed.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiada unsur ketirisan nyata yang menyebabkan peningkatan kos dan kelewatan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata peningkatan kos dan kelewatan projek berkenaan siap adalah kerana unjuran pertambahan penumpang di KLIA2 yang lebih tinggi daripada apa yang dijangkakan sebelum ini dan pembangunan rancak industri penerbangan tambang murah negara.

"Soal ketirisan perlu bukti dan dalam soal jawab semasa prosiding PAC tadi tidak timbul soal ketirisan tetapi lebih kepada pelaksanaan dan perancangan. PAC mahu orang awam mengikis persepsi yang tidak betul mengenai pembinaan KLIA2," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini Selasa.

Beliau ditemui selepas mendengar penjelasan selama tiga jam daripada Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Datuk Ahmad Hamid Mohd Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Yap Kian Sin.

Nur Jazlan berkata MAHB menjelaskan pertumbuhan rancak industri penerbangan tambang murah negara menyebabkan perubahan daripada segi reka bentuk lapangan terbang perlu dilakukan.

KLIA2, kata beliau akan dibuka pada 2 Mei dengan dua syarikat penerbangan iaitu Cebu Pacific dan Malindo Air beroperasi dahulu.

"AirAsia dijangka pindah selepas 2 Mei. Oleh itu pada 2 Mei, pra-pelancaran akan dilaksanakan dan KLIA2 akan beroperasi dengan trafik yang rendah sebelum AirAsia dengan jumlah penerbangan lebih besar berpindah ke sana," katanya. 

Memandangkan banyak perkara pada sesi kali ini menyentuh AirAsia, Nur Jazlan berkata PAC memutuskan untuk memanggil AirAsia yang banyak mempengaruhi pembinaan KLIA2 bagi memberi keterangan secepat mungkin.

Beliau berkata PAC pada Selasa turut merakamkan kenyataan daripada MAHB yang membiayai sepenuhnya projek KLIA2 untuk kepentingan awam manakala Kementerian Pengangkutan melihat aspek isu keselamatan bagi menjamin keselamatan penumpang dan pengguna KLIA2 ekoran insiden kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines pada 8 Mac lalu.

KLIA2 sebelum ini dijadual dibuka pada 30 April sebelum ditunda kepada 2 Mei.
Tags / Kata Kunci: Nur Jazlan , KLIA2 , PAC , AirAsia , MAHB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan