Perjuangan Umno Majukan Negara Selari Tuntutan Islam - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 1 April 2014 8:08 PM

Muyhiddin (tengah) ketika hadir merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Ta'lim - An Nur Bersama Wanita Kelantan di Dewan Terbuka Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa, Kota Baru pada Selasa. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Perjuangan Umno memajukan Malaysia sejak dahulu hingga sekarang adalah selari dengan tuntutan Islam dan hakikat ini diakui banyak pihak, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keadaan negara yang makmur dan pesat membangun sekarang ini juga adalah mengikut acuan Islam dan ia menjadi contoh kepada negara lain.

"Perjuangan Umno adalah selari dengan tuntutan agama dan saya tegaskan apa yang kita lakukan dalam memajukan negara sama sekali tidak bercanggah dengan syariat Islam.

"Bermula daripada sistem pelajaran di peringkat rendah semuanya berpaksikan kepada agama kerana yang penting adalah melahirkan negara yang maju dengan rakyatnya hidup aman dan makmur," katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Skuad Ta'lim-An Nur Bersama Wanita Kelantan di Dewan Terbuka Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa di sini, Selasa.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Kelantan, Senator Datin Rahmah Mahamad.

Muhyiddin berkata apabila kerajaan meletakkan Islam di hadapan dalam semua perkara, ia sebenarnya mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh yang terbaik.

"Saya nak sanggah apa kata PAS kepada kita kononnya kerajaan kita tidak mengikut lunas Islam. Kita perlu perbetulkan tanggapan itu dan buktikan apa yang kita lakukan ini adalah benar.

"Apa yang kita adakan pada hari ini oleh Wanita Umno sebagai bukti kita meletakkan Islam itu pada perjuangan dan kita perlu mempunyai ilmu dalam memperjuangkan Islam itu," katanya.

Beliau berkata Skuad Ta'lim-AN Nur itu boleh dicontohi kerana ketika ini umat Islam menghadapi cabaran hebat yang mahu menggagalkan usaha yang dilakukan umat Islam di negara ini.

Skuad Ta'lim-An Nur itu berperanan menyebarkan kefahaman Islam dan berdakwah dan anggotanya terdiri daripada kalangan Wanita Umno.

Muhyiddin juga turut memberi jaminan akan membantu skuad itu menyebarkan dakwah, terutamanya dalam mematahkan hujah pembangkang mengenai Islam yang dibawa Umno.

Timbalan Perdana Menteri kemudiannya berlepas pulang ke ibu negara.
Tags / Kata Kunci: Umno , Muhyiddin Yassin , Skuad Ta'lim-An Nur

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan