Laporan Daily Mail Juruterbang 'Sedang Beremosi' Tidak Betul

Diterbitkan: Isnin, 31 Mac 2014 9:02 PM

Hishammuddin (tengah) menjawab pertanyaan media pada sidang media mengenai perkembangan terkini pesawat MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Isnin. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Laporan tabloid  Daily Mail yang mendakwa juruterbang penerbangan MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah sedang mengalami gangguan emosi kerana masalah rumahtangga adalah tidak benar.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setiap maklumat yang terkandung dalam laporan itu bukan diambil ataupun kenyataan daripada pihak berkuasa dari Malaysia.

"Setiap maklumat yang didedahkan di luar sidang media atau spekulasi, diagrams di Google dan apa-apa maklumat lain di internet, saya tidak boleh mengesahkannya atau menolak sumber-sumber itu.

"Saya boleh mengesahkan (laporan Daily Mail) bahawa saya tidak fikir ia datang daripada polis (Malaysia). Bagaimana Daily Mail dapat maklumat itu, anda perlu tanya kepada mereka," katanya pada taklimat MH370 di sini, Isnin.

Katanya, beliau hanya dapat memberi penjelasan mengenai perkara-perkara yang dimaklumkan kepadanya sahaja dan berdasarkan sidang media yang telah diadakan.

"Kalau ada apa-apa (pertanyaan), saya akan jelaskannya, tiada masalah bagi saya (menjawab)," katanya, merujuk kepada sidang media harian.

Pada Ahad, akhbar Daily Mail melaporkan bahawa Kapten Zaharie sedang beremosi akibat gagal dalam perkahwinan dengan memetik sumber 'yang rapat dengan keluarga juruterbang'.

Laporan itu mendakwa isteri Zaharie, Faizah Khanum Mustafa Khan memberitahu penyiasat bahawa Zaharie tidak bercakap dengannya sebelum dia berlepas pada 8 Mac lalu dan menghabiskan masa bersendirian di dalam bilik yang menempatkan simulator pesawatnya.

Laporan itu kemudiannya dibidas oleh anak perempuan juruterbang itu pada Isnin dengan menyatakan bahawa dia tidak akan memaafkan tabloid British itu kerana 'mengada-adakan cerita' tentang bapanya dan secara langsung menunjukkan seolah-olah bapanya bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat.

Turut menyelar laporan itu ialah kenalan rapat Zaharie Dr Mohammad Ghouse Noor, yang berkata akhbar tersebut menyebarkan pembohongan dan berunsur fitnah.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan