MH370: Media China Minta Keluarga Bersikap Rasional

Diterbitkan: Isnin, 31 Mac 2014 11:56 PM

Dua anggota TUDM bersedia untuk membaling salah satu daripada enam pelampung boya dari dalam pesawat Hercules C-130 ketika operasi mencari dan menyelamat MH370 di perairan Lautan Hindi, kira-kira 1,500 kilometer dari Perth, Australia pada Isnin.-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Media China meminta keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang supaya "tidak membiarkan kemarahan mereka mengatasi fakta dan kewarasan", walaupun mereka berasa amat sedih.

Dalam ruangan pendapat umum bertajuk "Hadapi tragedi MH370 dengan rasional" yang disiarkan oleh akhbar China Daily pada Isnin, penulis Mei Xinyu berkata anggota keluarga mangsa perlu mematuhi nilai-nilai asas masyarakat bertamadun.

Beliau berkata mereka juga perlu menjaga "maruah sebagai sebuah kuasa besar".

"Perkataan dan tingkah laku tidak waras yang bercanggah dengan nilai-nilai asas sekalipun atas nama 'mempertahankan hak perundangan', tidak akan membantu dalam hal ini.
 
"Sebaliknya, ia mungkin menikam diri sendiri dan menjejaskan keseluruhan kepentingan nasional, menyebabkan semua rakyat China menanggung kesan tragedi itu," kata beliau dalam akhbar itu yang dimiliki kerajaan.

Xinyu, seorang penyelidik di Institut Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi Antarabangsa, Kementerian Perdagangan China, berkata warga China perlu memahami yang kejadian itu mungkin insiden paling aneh dalam sejarah penerbangan awam Asia.

Beliau menarik perhatian bahawa menemui pesawat dan menganalisis data teknikal akan mengambil masa.

"Penerbangan MH370 nampaknya jatuh di selatan Lautan Hindi yang sunyi dengan keadaan ombak yang tinggi dan kedalamannya mencecah beribu-ribu meter. Tidak banyak penerbangan sivil atau kapal-kapal laut melalui kawasan ini.

"Kita perlu ingat, ada kes di mana bangkai pesawat hanya dijumpai selepas beberapa tahun usaha mencari. Selain semua pihak perlu berusaha mencari hasil terbaik, mereka juga perlu bersedia untuk pencarian yang mengambil masa lama," katanya.

Xinyu berkata keluarga dan waris perlu faham bahawa pencarian pesawat yang hilang itu membabitkan keupayaan ketenteraan dan rahsia pertahanan sesebuah negara.

Oleh itu, menuntut sebuah negara berdaulat untuk mengeluarkan semua maklumat adalah tidak wajar, dan adalah mustahil bagi semua maklumat rahsia itu didedahkan.

"Pendapat umum tidak sepatutnya menyalahkan pihak berkuasa Malaysia kerana kononnya menyembunyikan maklumat berikutan ketiadaan bukti, memandangkan kita perlu bertindak mengikut undang-undang dan bukan dengan 'membuat bising' atau menunjukkan tingkah laku yang agresif atau tidak waras," kata beliau.

Xinyu berkata anggota keluarga harus mengakui bahawa dalam insiden yang belum pernah berlaku itu, Malaysia tidak lepas tangan dan seluruh rakyat Malaysia menunjukkan kesedihan yang mendalam.

(Oleh itu) rakyat China perlu mengelak daripada mencetuskan kritikan dan memulakan pemulauan terhadap Malaysia bagi memastikan mereka tidak melukakan hati majoriti rakyat Malaysia.

"Semua rakyat China bersimpati dengan anggota keluarga penumpang MH370 dan berkongsi kesedihan mereka," kata beliau.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. 

Sebanyak 154 daripada penumpang MH370 adalah warga China. 

Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di "selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit oleh firma telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB). 

Misi pencarian pelbagai negara dikerahkan di selatan Lautan Hindi untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu, yang melencong daripada laluan asal penerbangannya.
Tags / Kata Kunci: MH370 , MAS , China , Mei Xinyu , China Daily

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan