Berkata Hanya Yang Benar Atau Diam Jika Tidak Tahu Apa-Apa: Jamil Khir

Diterbitkan: Isnin, 31 Mac 2014 6:22 PM

Jamil Khir

Jamil Khir Baharom.

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Rakyat Malaysia perlu mengiktiraf dan menghormati kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan berhubung insiden membabitkan pesawat milik Malaysia Airlines, MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata Islam tidak membenarkan sebarang penyebaran maklumat tidak tepat kerana ia memberi kesan negatif terhadap masyarakat dan dalam konteks MH370, rakyat perlu berkata hanya yang benar atau lebih baik diam sahaja jika tidak tahu apa-apa.

"Rakyat juga perlu menghentikan serta merta sebarang hebahan maklumat yang tidak tepat kerana ia sangat menghiris perasaan keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat. 

"Kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam segenap aspek termasuk menyalurkan maklumat yang disahkan sahaja dalam setiap sidang media yang diadakan sejak peristiwa itu berlaku pada 8 Mac lalu... jadi tidak perlulah hendak pertikaikannya kerana kerajaan sangat teliti dengan setiap maklumat yang disampaikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan multaqa imam, guru takmir dan anggota jawatankuasa masjid peringkat negeri Terengganu di sini Isnin.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata dunia turut mengiktiraf usaha Malaysia dalam menangani krisis MH370 ini dan menghormati setiap kenyataan yang dikeluarkan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Daripada membuat perkara seperti itu (spekulasi, terutama di media sosial), lebih baik rakyat teruskan berdoa dan membuat solat hajat agar kita semua diberikan petunjuk dari Allah berhubung pesaway MH370.

"Setakat ini, nasihat saya agar berpegang teguhlah hanya kepada setiap kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan tanpa sebarang tokok tambah cerita dan pada masa sama, hentikan perbuatan yang tidak berfaedah dalam penyebaran maklumat tidak tepat itu," katanya.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Tags / Kata Kunci: MH370 , MAS , Jamil Khir , Hishammuddin Hussein

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan