Semua Aspek Diambil Kira Menjejaki MH370 - Hishammuddin

Diterbitkan: Khamis, 27 Mac 2014 12:22 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan bahawa semua aspek diambil kira dalam pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan menggariskan empat aspek untuk mengesan pesawat malang itu. 

Beliau berkata, pihak berkuasa yang terlibat telah mengecilkan kawasan pencarian menggunakan data satelit bukan sahaja dari INMARSAT tetapi juga dari Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK (AAIB), Pentadbiran Penerbangan Awam China (CCAC), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Boeing dan Rolls-Royce.

"Kami sekarang berkumpul dan cuba melakukan apa yang kamu minta berhubung dengan data satelit," kata beliau pada sidang media mengenai perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau berkata, mereka juga mempunyai maklumat radar yang perlu dianalisis, iaitu tentera dan awam.

"Yang ketiga, yang berlaku sekarang ialah kerahan aset di udara dan di laut dan lebih banyak kapal digerakkan di kawasan-kawasan tersebut, kawasan pencarian boleh dikecilkan lagi. Yang keempat ialah menambah jumlah pakar atas kapal untuk menyertai pencarian," katanya.

Mengenai objek-objek yang dikesan oleh Airbus Defence and Space, Hishammuddin berkata objek-objek yang dikesan itu bukan berupa objek-objek yang ditemui oleh China dan Australia tetapi masih menjadi petunjuk yang boleh dipercayai setakat ini.

"Jika ia disahkan sebagai MH370, sekurang-kurangnya, kami boleh bergerak ke fasa berikut untuk meneruskan pencarian di laut dalam...dan mungkin menyelamat," kata beliau.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Amerika Syarikat telahpun menggerakkan peralatan 'Towed Pinger Locator' untuk mengesan kotak hitam milik MH370.

"Bentuk dan fokus teknologi yang berbeza untuk mengesan kotak hitam kini dibincangkan. Tetapi sekarang kita beralih ke laut dalam untuk pencarian dan menyelamat," kata beliau.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac. Ia hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian di ruang udara Laut China Selatan.

MH370 sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama. 

Operasi membabitkan pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di koridor utara dan koridor selatan selepas disahkan bahawa pesawat itu melencong daripada laluan asal penerbangan.

Koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand sementara koridor selatan meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Susulan analisis yang belum pernah diguna pakai sebelum ini, firma satelit dari United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) membuat rumusan bahawa Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi".

Tags / Kata Kunci: hishammuddin tun hussein , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan