PSC Atau RCI Hanya Akan Dibentuk Selepas Kotak Hitam Ditemui

Diterbitkan: Khamis, 27 Mac 2014 3:09 PM

Kotak hitam.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) hanya akan dilakukan selepas kotak hitam pesawat MH370 yang hilang ditemui kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Persoalan mengenai penubuhan RCI atau PSC telah dibincangkan oleh kerajaan.

"Kami telah bersetuju untuk membentuk sama ada RCI atau PSC, tetapi jika selepas kotak hitam pesawat dijumpai," katanya pada Khamis, menjawab soalan dibangkitkan oleh Anthony Loke Siew Fook mengenai cadangan untuk membentuk PSC di Dewan Rakyat.

Tambahnya, mencari kotak hitam adalah yang paling penting memandangkan kerajaan sedar mengenai laporan negatif media asing terhadap Malaysia dan umat Islam.

Walau bagaimanapun, beberapa wakil rakyat pembangkang menggesa supaya kerajaan menimbang semula pembentukan PSC walaupun sebelum kotak hitam ditemui.

Lim Kit Siang (DAP - Gelang Patah) menggesa Shahidan, yang bertanggungjawab terhadap Parlimen mengkaji semula keputusannya dan segera menubuhkan badan siasatan tanpa perlu menunggu kotak hitam.

"Jadi, adakah ini bermakna tidak ada keperluan untuk menubuhkan RCI atau PSC jika kotak hitam tidak dijumpai?"

"Kita tidak boleh menunggu dan satu badan mesti dibentuk untuk menjawab semua persoalan berbangkit mengenai dalam MH370," katanya.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN- Kinabatangan)  mempertahankan pendirian kerajaan dengan mengatakan adalah sia-sia untuk membahaskan isu-isu itu jika kotak hitam tidak dijumpai terlebih dahulu.
Tags / Kata Kunci: RCI , PSC , kotak hitam , MH370 , Datuk Seri Shahidan Kassim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan