Tujuh Pesawat Tentera, Lima Pesawat Awam Sertai Pencarian MH370 Pada Rabu

Diterbitkan: Rabu, 26 Mac 2014 1:31 PM

Pesawat dari Jepun sebelum berlepas ke Perth dari Lapangan Terbang Subang, Rabu. Mereka akan menyertai operasi SAR untuk penerbangan MH370 di Lautan Hindi. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejumlah 12 pesawat terlibat dalam usaha mengesan dan mengambil objek-objek yang dipercayai ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi, dalam operasi pada Rabu.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataan di sini berkata pesawat terbabit meliputi tujuh milik tentera dan lima milik awam.

"Setakat ini enam negara terbabit dalam operasi iaitu Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Jepun, China dan Korea Selatan," kata kenyataan itu. 

Pesawat yang terbabit operasi hari ini ialah sebuah Ilyushin IL-76 dari China, sebuah P3 Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand, dua P3 Orion Tentera Udara Diraja Australia, P8 Poseidon (Amerika Syarikat), serta masing-masing satu P3 Orion dari Jepun dan Korea.

"Dua pesawat awam sudah berlepas dari Perth ke kawasan pencarian, manakala bakinya akan berlepas antara pukul 10 pagi dan tengah hari," kata kenyataan itu.

AMSA berkata 34 sukarelawan Perkhidmatan Kecemasan Negeri dari Australia Barat terbabit sebagai peninjau dalam pesawat awam berkenaan.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian.

Pesawat dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Pada hari ke-17 operasi mencari dan menyelamat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi, berdasarkan analisis maklumat satelit dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB).
Tags / Kata Kunci: AMSA , MH370 , Lautan Hindi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan