MAS Diramal Berdepan Kemelut Kewangan

Diterbitkan: Rabu, 26 Mac 2014 11:58 AM

malaysia airlines
(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Malaysia Airlines (MAS) telah pun mengalami kemelut kewangan walaupun sebelum kehilangan pesawat MH370. 

Dengan krisis besar yang terpaksa ditanggungnya kini, penganalisis berkata tidak mungkin syarikat penerbangan itu dapat mengubah nasibnya dalam masa terdekat.

Syarikat pengangkutan itu perlu berdepan dengan nilai ratusan juta dolar ekoran pembayaran ganti rugi kepada ahli keluarga mangsa dan penurunan dalam jualan tiket.

Insurans bagaimanapun akan membantu menampung sebahagian daripada kos.

Tetapi MAS, yang mempunyai nilai pasaran sebanyak RM3.8 bilion telah dihukum di pasaran saham.

Setelah jatuh ke paras terendah 23 sen Isnin lepas, ia kemudiannya naik kembali tetapi jatuh ke paras 23 sen pada Selasa.

MAS yang 70 peratus dimiliki oleh Khazanah Nasional, kali terakhir melaporkan keuntungan pada tahun 2010.

Penerbangan itu pada bulan lepas mencatatkan kerugian suku tahunan terbesar ketika mengumumkan kerugian tahunannya yang telah meningkat kepada RM1.17 bilion dari RM432.58 juta pada 2012.

Angka lebih suram dijangka menanti. Sebanyak €32 juta (RM 145 juta) dan dua tahun telah diambil untuk mencari penerbangan Air France yang hilang pada tahun 2009.

Penganalisis berkata kes ini mungkin akan menjadi lebih mahal dan mengambil masa yang lama.

"Sukar untuk memberi sebarang angka kerana pelbagai operasi mencari masih dijalankan tetapi ia mungkin mencecah ratusan juta dolar," kata Pengarah aeroangkasa dan pertahanan Asia Pasifik Frost & Sullivan Subhranshu Sekhar Das.

Kos operasi mencari ditanggung oleh kerajaan Malaysia, tetapi MAS merancang untuk membayar US $5,000 (RM16,502) kepada setiap ahli keluarga penumpang dan ia mungkin menjadi lebih lagi kerana carian masih berterusan.

Ia juga perlu menerbangkan keluarga ke Perth dan memberikan mereka penginapan.

Selain itu, keluarga juga akan mendapat pampasan dari MAS walaupun pesawat itu tidak dijumpai.

Di bawah satu perjanjian antarabangsa, syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk menanggung sebanyak AS$ 175,000 bagi setiap penumpang sekiranya berlaku bencana.

Jika siasatan menunjukkan syarikat penerbangan itu bersalah angka itu akan meningkat.

Pun begitu masih tidak jelas berapa banyak kos yang akan ditanggung syarikat insurans. Setakat ini, MAS dilaporkan telah menerima AS$100 juta untuk kehilangan Boeing 777.

Penganalisis memberitahu The Straits Times mereka tidak dapat berhubung dengan pengurusan MAS untuk mendapatkan gambaran jelas tentang kesan kewangan yang muktamad tetapi mereka yakin masa yang lama akan diambil untuk perniagaan kembali normal.

"Kebimbangan sekarang terutamanya berkisar kepada kuasa harga dan trafik penumpang MAS. Berdasarkan kes-kes lalu, trafik biasanya terjejas selama tiga hingga lima bulan sebelum pulih," kata penganalisis AmResearch yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Hafriz Hezry.

Seorang lagi penganalisis dari sebuah firma broker Malaysia yang enggan namanya disiarkan berkata terdapat beberapa perkara mungkin berlaku termasuklah MAS akan membuat penurunan harga yang dahsyat.

Namun, ada juga yang melihat MAS sebagai syarikat yang telah mempunyai rekod sejarah yang baik dan penumpang tidak mungkin menjauhi syarikat penerbangan itu buat masa yang lama, terutamanya jika berlaku pengurangan harga.

Malah, agensi pelancongan di sini berkata, mereka tidak pernah melihat penurunan mendadak dalam permintaan untuk tiket MAS.

Chan Brothers dan ASA Holidays berkata mereka tidak mempunyai apa-apa pembatalan atau permintaan untuk menukar penerbangan dari MAS.
- The Straits Time
Tags / Kata Kunci: MAS , keuntungan , kerugian , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan