Muhyiddin, Pemimpin BN Ucap Takziah Kepada Anggota Keluarga MH370

Diterbitkan: Selasa, 25 Mac 2014 5:35 PM

Muhyiddin Yassin

Muhyiddin Yassin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Muhyiddin berkata, berita tersebut amat mendukacitakan dan beliau berasa amat sedih dengan tragedi yang berakhir dengan 239 nyawa terkorban.

"Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan ahli keluarga yang tertunggu-tunggu apakah nasib penumpang pesawat itu sebaik sahaja menerima berita ini.

"Semoga Allah memberi ketabahan dan kekuatan kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH370 untuk mengharungi cubaan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhyiddin berkata, seluruh dunia berkongsi kesedihan anggota keluarga dan rakyat Malaysia serta semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

"Marilah kita hadiahkan Al-Fatihah kepada penumpang Islam yang terkorban dan bertafakur untuk yang bukan Islam. Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Takziah," kata Muhyiddin.

Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata beliau begitu sedih dengan nasib pesawat Penerbangan MH370, yang hilang daripada skrin radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Beliau berkata, keadaan ini jelas satu tempoh yang begitu mencabar dan sukar bagi anggota keluarga penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370 dan mereka sentiasa dalam ingatan dan doa setiap anggota Gerakan dan rakyat Malaysia.

"Usaha perlu dilakukan untuk merungkai misteri kehilangan MH370 supaya anggota keluarga penumpang dan anak kapal mendapat penjelasan yang diperlukan dan langkah-langkah-langkah pemulihan perlu dilaksanakan bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan