TPM Hadir Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear

Diterbitkan: Isnin, 24 Mac 2014 10:58 AM

Tan Sri Muhyiddin dan isteri disambut di Amsterdam, awal pagi Isnin untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear

(Ubah saiz teks)

AMSTERDAM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Amsterdam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear 2014 (NSS 2014) yang berlangsung di The Hague selama dua hari bermula Isnin.

Pesawat yang membawa Muhyiddin, diiringi isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol dan mereka tiba di hotel penginapan di sini pada jam 9 malam waktu tempatan (4 pagi waktu Malaysia).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pegawai kanan dari pejabat Timbalan Perdana Menteri, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia adalah antara delegasi Malaysia yang mengiringi Muhyiddin.

Sebaik tiba di hotel, beliau disambut kakitangan Kedutaan Malaysia di Belanda dan para pegawai Malaysia bagi NSS.

Isnin, Muhyiddin dijadual bertemu Persatuan Pelajar Malaysia di Netherlands dan menghadiri majlis perasmian NSS.

Menurut kenyataan Kementeri Luar, sidang kemuncak itu bertujuan memperkukuhkan keselamatan nuklear global menerusi jalinan kerjasama lebih erat dalam kalangan negara anggota NSS sambil memastikan bahawa langkah memperkukuhkan keselamatan nuklear tidak akan menghalang hak negara-negara untuk membangun dan menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan yang tidak melibatkan keganasan.

Sidang kemuncak ketiga itu akan turut membincangkan kaedah untuk meningkatkan perlindungan terhadap bahan dan kemudahan nuklear yang terdedah kepada bahaya dalam memerangi kemungkinan serangan pengganas nuklear.

Malaysia akan mengulangi komitmen penuhnya untuk menyokong usaha menghalang bahan nuklear daripada jatuh ke tangan pengganas dan peserta bukan negara yang lain.

Sidang kemuncak itu dijangka menerima Kenyataan yang akan menegaskan semula komitmen yang dicapai dalam pelbagai isu keselamatan nuklear.

Ini termasuk memperkukuhkan jaminan dan keselamatan nuklear antarabangsa, mengharamkan pengedaran bahan nuklear dan mempertingkatkan bidang forensik nuklear. 


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan