Pesawat China Dan Jepun Sertai Operasi SAR Di Koridor Selatan

Diterbitkan: Isnin, 24 Mac 2014 11:33 AM

Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (kiri) memberikan sokongan moral kepada krew Tentera Udara Jepun sebelum berlepas ke Australia dengan pesawat P3-C Orion dari Pangkalan Udara Subang bagi misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 di Subang, Ahad. Seramai 44 krew dari dua buah pesawat P3-C Orion selamat berlepas ke Australia bagi misi tersebut. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pesawat Ilyushin IL-76 dari China dan dua pesawat P3 Orion dari Jepun menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines MH370 di koridor selatan, Isnin.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata sejumlah 10 pesawat akan terlibat dalam pencarian mengesan objek di lokasi pencarian kira-kira 2,500km di barat daya Perth.

Ini termasuk tiga pesawat awam - dua Bombardier Global Express dan sebuah Airbus, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Pencarian hari ini dibahagikan kepada dua, dalam kawasan sama meliputi keluasan 68,500 kilometer persegi.

AMSA mengulangi bahawa operasi mencari ini adalah mencabar.

"Pesawat ini hilang sejak 8 Mac dan AMSA turut melahirkan kebimbangan mengenai nasib yang menimpa penumpang dan anak kapal yang hilang ini," katanya.

Keadaan cuaca di kawasan pencarian dijangka kurang baik berikutan kemungkinan hujan. 

"AMSA menggunakan semua imej satelit dan maklumat yang diperoleh di kawasan pencarian.

"Kedua-dua pesawat awam yang digunakan AMSA dan pesawat tentera dari Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, China dan Jepun semuanya membantu dalam operasi mencari berterusan itu untuk menyediakan peluang terbaik untuk mengesan objek yang dicerap imej satelit dengan mata kasar," katanya. 

AMSA berkata kapal tentera laut Australia HMAS Success turut berada di kawasan carian, manakala beberapa kapal China dalam perjalanan ke kawasan berkenaan untuk membantu mencari objek berkaitan membabitkan pesawat itu. 

Sementara itu, agensi berita China dalam portal berita xinhua.com berkata pesawat Angkatan Tentera Udaranya adalah pembabitan pertama negara itu dalam operasi mencari pesawat itu di selatan Lautan Hindi.

Operasi mencari akan berlangsung selama satu jam meliputi kawasan seluas 400km panjang dan 30km lebar, yang mana imej satelit sebelum ini mencerap objek mencurigakan kemungkinan berkaitan pesawat yang hilang itu.

"Menurut Komander Liu Dianjun, pesawat China dijangka membuat lapan jam pusingan penerbangan semasa misi itu, dengan jarak paling jauh 2,700km dari Perth," katanya.

Operasi SAR MH370 beralih ke selatan Lautan Hindi selepas Australia pada Khamis berkata imej satelit kemungkinan serpihan daripada pesawat yang hilang itu ditemui di laut kira-kira 2,400km dari Perth.

Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan ke Beijing, China hilang daripada radar kira-kira 1.30 tengah malam pada 8 Mac di ruang udara antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang.
Tags / Kata Kunci: Jepun , China , SAR , Lautan Hindi , AMSA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan