Operasi Pencarian Diperhebat Susulan Objek Besar Dikesan satelit China

Diterbitkan: Ahad, 23 Mac 2014 8:15 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pencarian penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) diperhebatkan selepas satu objek besar terapung dikesan oleh satelit China di koridor selatan Lautan Hindi. 

Maklumat mengenai penemuan objek itu yang dikesan oleh satelit pemerhati China "Gaofen-1" kira-kira 12 tengah malam pada 18 Mac waktu Beijing telah disampaikan kepada Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa beliau mengadakan sidang media di Hotel Sama-Sama di Sepang dekat sini Sabtu.

Maklumat daripada Duta China ke Malaysia Huang Huikang disampaikan kepada Hishammuddin dalam nota bertulis.

Agensi berita nasional China Xinhua dalam laman webnya www.xinhuanet.com berkata jurucakap Kementerian Luar negara itu Hong Lei berkata China telah memaklumkan kepada Malaysia dan Australia selepas satelitnya mengesan objek berkenaan, berukuran 22 meter panjang dan 13 meter lebar, di selatan Lautan Hindi.

Satu lagi agensi kerajaan China, Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri bagi Pertahanan Negara (Sastind) berkata imej dari satelit itu merakamkan objek berkenaan pada 44 darjah, 57 minit latitud selatan, dan 90 darjah, 13 minit longtitud timur, di selatan Lautan Hindi.

Menurut Xinhua, lokasi objek berkenaan dikesan di sepanjang laluan koridor selatan yang mungkin dilalui oleh Penerbangan MH370, dan kira-kira 120 km ke barat dari lokasi objek yang dikesan Australia sebelum ini.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenayataan berkata China menyalurkan imej satelit kepada Australia yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di koridor selatan pada Sabtu.

AMSA berkata ia akan mengambil kira maklumat itu dalam pelan pencariannya pada Ahad.

Ia telah menentukan kedudukan dan ia terletak dalam kawasan pencarian pada Sabtu.

AMSA menambah kapal tentera laut Diraja Australia HMAS Success telah tiba di kawasan pencarian dan begitu juga dua buah kapal dagang juga berada di kawasan itu.

Hishammuddin pada sidang media itu berkata kapal-kapal China telah dihantar ke kawasan berkenaan untuk mengenal pasti penemuan objek itu.

Penemuan objek itu oleh China di koridor selatan, kira-kira 2,500 km ke baratdaya Perth, Australia, telah memberi harapan bahawa ia akan menghasilkan penemuan pesawat yang hilang itu.

Hari ini, pasukan mencari dan menyelamat menumpukan pencarian di kawasan kira-kira 10,500 batu nautika persegi untuk menjejaki pesawat itu.
Hishammuddin berkata pada umumnya, keadaan di kawasan pencarian koridor selatan amat mencabar kerana kedalaman lautannya antara 1,150 meter dan 7,000 meter.

"Di kawasan yang kemungkinan objek-objek itu dikenal pasti oleh pihak berkuasa Australia, keadaan ombak pula kuat dan laut bergelora," kata beliau dan menambah bahawa amaran taufan "Gillian" telah dikeluarkan di koridor selatan hari ini.

Mengenai pencarian di koridor utara, Hishammuddin berkata China, Pakistan, India, Myanmar, Laos, Kyrgyztan dan Kazakhstan telah memaklumkan secara lisan kepada operasi SAR bahawa berdasarkan analisis awal, radar mereka tidak mengesan pesawat tersebut.

Ketika pencarian MH370 tetap menjadi keutamaan Malaysia, Hishammuddin berjanji bahawa pihak berkuasa Malaysia akan melakukan apa saja yang termampu untuk memaklumkan keluarga penumpang MH370 mengenai perkembangan terkini.

Dalam perkembangan lain, pusat media bagi petugas yang membuat liputan tentang pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dipindahkan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur mulai esok. 

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan hari ini, pemindahan itu berikutan komitmen Hotel Sama-Sama kepada tetamu yang datang sempena Grand Prix Formula 1 Jumaat ini.

Pesawat Boeing 777-200ER itu hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac. 

MH370 sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.
Tags / Kata Kunci: China , satelit , MH370 , Gaofen-1 , Huang Huikang , Beijing

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan