MH370: Transkrip Hanya Perbualan Biasa

Diterbitkan: Sabtu, 22 Mac 2014 6:58 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Transkrip asal perbualan antara penerbangan MH370 Malaysia Airlines dan kawalan trafik udara Malaysia tidak menunjukkan apa-apa luar biasa, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata transkrip asal itu kini ada pada pasukan penyiasat dan sedang dianalisis.

"Oleh kerana telah menjadi amalan standard dalam siasatan seperti ini, transkrip itu tidak boleh didedahkan kepada umum pada peringkat ini.

"Bagaimanapun, saya dapat mengesahkan bahawa transkrip itu tidak menunjukkan apa-apa luar biasa," kata Hishammuddin pada sidang media mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu yang masuk hari ke-15, Sabtu.

Pesawat Boeing 777-200ER itu yang dalam penerbangan ke Beijing membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarbangsa KL pada 8 Mac.

Penerbangan itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Hishamuddin berkata siasatan awal tentang senarai kargo MH370 tidak menunjukkan apa-apa pertalian yang mungkin boleh dikaitkan dengan kehilangan pesawat tersebut.

"Senarai kargo itu ada pada pasukan penyiasat dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Seperti ditegaskan semalam, semua kargo yang dibawa dalam MH370 mematuhi standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa," kata beliau.

Dua puluh enam negara terlibat dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines itu bersama pelbagai pesawat rondaan maritim dan kapal digerakkan dalam pencarian itu.

Tags / Kata Kunci: MH370 , MAS , KLIA , Sepang , ICAO

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan