PRK Kajang: Chew Nafi Letak Jawatan Kerana Mendera

Diterbitkan: Sabtu, 22 Mac 2014 7:41 PM

Chew ketika berkempen di Kajang pada Sabtu.

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang Datin Paduka Chew Mei Fun pada Sabtu menafikan dakwaan bahawa beliau mendera pembantu rumah sehingga terpaksa melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan pada tahun 2010.

Naib Presiden MCA itu berkata sejak BN mengumumkan pencalonannya pada 21 Feb lalu, pelbagai tuduhan keji dilontarkan untuk menjejaskan imejnya.

"Tuduhan bahawa saya meletak semua jawatan kerana takut didakwa kerana mendera pembantu rumah adalah satu fitnah. Sebenarnya saya tidak pernah mengupah pembantu rumah. Pembohongan fiksyen ini telah melampaui batas sempadan dan langsung tidak masuk akal.

"Saya memahami bahawa lawan saya mahu menang dalam pilihan raya kecil ini tetapi pembohongan sebegini adalah perkadaran kegilaan yang epik," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian susulan terdapat risalah yang diedarkan mendakwa Chew meletakkan semua jawatan pada tahun 2010 untuk mengelak beliau daripada didakwa.

Pada 8 April 2010, Chew mencipta kontroversi apabila mengumumkan keputusannya melepaskan semua jawatan sebagai Ketua Wanita MCA serta merta akibat perselisihan dengan pucuk pimpinan parti.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat juga mendakwa Chew telah menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Damansara, menindih imejnya di atas gambar seorang gadis seksi manakala Setiausaha DAP Nga Kor Ming juga melabelkannya sebagai pembantu rumah.

Selain itu, Exco Kanan Selangor Datuk Teng Chang Khim juga menawarkan Chew jawatan sebagai ahli majlis perbandaran dengan syarat beliau menarik diri daripada bertanding dalam tempoh 48 jam.

"Keazaman saya untuk memenangi pilihan raya kecil ini semakin kukuh apabila parti lawan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan saya," katanya.

Terdahulu ketika ditemui pemberita selepas berinteraksi bersama pengundi India di sini, Chew menegaskan tidak mengenali wanita yang didakwa sebagai amah beliau dalam poster yang diedarkan.

"Gambar amah dalam poster itu langsung tidak saya kenali, mereka (pihak tidak bertanggungjawab) dengan sesuka hati menggunakan gambar mana-mana perempuan dan dicetak di atas poster dan kemudiannya menuduh itu pembantu rumah saya.

"Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan saya akan mendapatkan nasihat daripada 'legal adviser' saya selepas ini untuk berbincang mengenai perkara ini," katanya.

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang esok menyaksikan saingan satu lawan satu antara Chew dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Tags / Kata Kunci: Barisan Nasional , Kajang , PKR

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan