Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama Dan Ketiga Masih Diteruskan

Diterbitkan: Jumaat, 21 Mac 2014 8:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air di Selangor peringkat pertama dan ketiga masih diteruskan mengikut jadual sehingga Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menerima arahan atau sebarang keputusan daripada kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata walaupun Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi beroperasi semula sejak 17 dan 19 Mac lepas, namun syarikat itu belum dapat memastikan kestabilan paras ammonianya.

"Ia (paras ammonia) masih di bawah pemantauan operator loji rawatan air dan Syabas juga dimaklumkan bahawa pada masa ini, loji-loji rawatan air itu akan beroperasi mengikut keadaan kualiti sumber air mentah," katanya dalam kenyataan Jumaat.

Beliau berkata hujan di beberapa kawasan termasuk di Sungai Selangor sejak beberapa hari lepas telah meningkatkan aliran air sungai di kawasan bekenaan namun pelepasan air daripada Empangan Sungai Selangor tetap pada tahap pengurangan sebanyak 500 Juta Liter Sehari (JLH).

Alfred berkata hujan membolehkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Sungai Rasa dan LRA Rantau Panjang menambah pengeluaran air terawat.

Pelan catuan air peringkat pertama melibatkan beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang berikutan penutupan LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi ekoran pencemaran ammonia.

Pelan catuan air peringkat ketiga pula melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Shah Alam ekoran kekurangan bekalan air terawat.

Sehubungan itu, Syabas meminta pengguna berjimat dalam penggunaan air bagi membolehkan bekalan air sedia ada dapat bertahan lama.
Tags / Kata Kunci: Syabas , catu , air , Priscilla Alfred , selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan