Mahkamah Tolak Permohonan 'Tuhan Harun' Dilepas Dengan Jaminan

Diterbitkan: Khamis, 20 Mac 2014 12:55 PM

Harun Mat Saat.

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Mahkamah Tinggi Kuantan di sini pada Khamis menolak permohonan ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun' Harun Mat Saat, yang menghadapi tuduhan berkonspirasi membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), supaya dilepaskan dengan jaminan.

 Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman dalam hujahnya berkata permohonan Harun, 48, ditolak atas sebab, alasan agar tertuduh dilepaskan untuk mendapatkan rawatan di hospital bukan satu keperluan khusus.

"Jaminan hanya diberikan kepada pemohon atas sebab-sebab kes istimewa, luar biasa atau khusus. 

"Dalam kes ini mahkamah tidak melihat satu keperluan kepada tertuduh untuk mendapatkan jaminan tersebut," katanya.

Beliau berkata tertuduh juga menghadapi satu tuduhan berat iaitu dituduh berkonspirasi membunuh pegawai Jaip Ahmad Raffli Abd Malek di kediaman mangsa di Lorong IM2/29 Bandar Indera Mahkota di sini pada 10 Nov tahun lepas.

"Kes ini berat dan mahkamah harus meletakkan kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh.

"Ini kerana sepanjang tempoh tahanan tertuduh telah menerima rawatan yang sewajarnya dari doktor pakar dan tidak melihat keperluan untuk tertuduh mendapatkan rawatan di hospital," kata Ab Karim.

Sebelum ini peguam tertuduh Hermes Media Putra memohon supaya anak guamnnya dilepaskan dengan jaminan atas alasan bagi membolehkannya mendapatkan rawatan di hospital akibat penyakit strok.

Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh bagaimanapun memohon tertuduh tidak dilepaskan dengan jaminan kerana yakin unit perubatan penjara mempunyai pegawai perubatan yang mampu merawat tertuduh dan jika dilepaskan ada kemungkinan tertuduh melarikan diri.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 April ini sebagai tarikh perbicaraan kes bunuh itu.

Pada 16 Disember tahun lalu, Sumustapha, 40, didakwa membunuh Ahmad Raffli bersama-sama dua lagi yang masih bebas di rumah mangsa di Nombor 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira pukul 1.50 petang, 10 Nov 2013.

Tertuduh dari Kampung Sibugal Besar, Sandakan, Sabah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Sementara Harun, isterinya, Azida Mohd Zol, 31, dan seorang lagi pengikut ajaran sesat itu, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38, didakwa bersama-sama Sumustapha dan dua lagi yang masih bebas untuk bersetuju antara satu sama lain melakukan konspirasi jenayah yang membawa kepada pembunuhan Ahmad Raffli.

Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa, tarikh dan tempat yang sama mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan turut memperuntukkan hukuman mati mandatori.
 

Tags / Kata Kunci: Tuhan Harun , Harun Mat Saat , Jaip

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan