10,000 Individu Berpendapatan Sederhana Berpeluang Nikmati Skim MyHome

Diterbitkan: Rabu, 19 Mac 2014 2:22 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 individu berpendapatan sederhana bakal menikmati bantuan kewangan maksimum RM30,000 menerusi Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata menerusi skim yang bakal dilaksana pada April, pembeli yang layak boleh menggunakan bantuan itu sebagai wang pendahuluan untuk membeli rumah.

"Terdapat beberapa pembeli yang mengeluh dengan mengatakan wang pendahuluan atau deposit untuk pembelian rumah itu terlalu tinggi.

"Menerusi skim itu, mereka boleh gunakan bantuan kewangan ini sebagai satu daripada penyelesaian di mana duit itu akan diberikan kepada pembeli dan dimasuk ke dalam akaun pembangunan perumahan mereka," katanya ketika ditemu bual dalam program Radar oleh Radio24 Bernama, Rabu.

Abdul Rahman berkata skim MyHome adalah insentif kepada pemaju perumahan untuk mendorong mereka membina lebih banyak rumah kos sederhana rendah.

"Kita tumpukan untuk pemaju perumahan yang baharu mendapat lesen, memulakan projek mereka atau yang mungkin dapat menyiapkan projek perumahan pada tahun ini.

"Pemaju perumahan ini boleh memohon, dan atas budi bicara kementerian, kita akan beri kelonggaran bagi membolehkan mereka memasukkan unit perumahan dipilih itu di bawah kategori skim itu," katanya.

Skim MyHome diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas.

Skim MyHome adalah projek perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Jan 2014 dengan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan