Pelan Catuan Bekalan Air Masih Diteruskan Walaupun Hujan Turun - Berita Semasa | mStar

Pelan Catuan Bekalan Air Masih Diteruskan Walaupun Hujan Turun

Diterbitkan: Selasa, 18 Mac 2014 9:34 PM

syabas
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelan catuan bekalan air peringkat pertama dan ketiga masih diteruskan walaupun berlaku hujan di beberapa kawasan sejak beberapa hari lepas, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Syabas dalam kenyataannya pada Selasa berkata, pelan catuan bekalan air itu masih diteruskan sehingga ada pindaan atau arahan yang diterima daripada kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

"Bagaimanapun, ingin dimaklumkan loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11 telah dapat beroperasi semula pada pukul 9 malam semalam (Isnin) berikutan penurunan paras ammonia manakala LRA Bukit Tampoi masih lagi ditutup.

"Dengan itu, bekalan air yang dapat dikeluarkan LRA yang beroperasi tersebut telah disalurkan kepada pengguna," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberitahu paras ammonia di Sungai Langat masih belum dapat dipastikan sama ada tetap pada tahap yang rendah dan masih dalam pemantauan pengoperasian LRA.

Sementara itu, kenyataan itu juga memaklumkan agar pengguna sentiasa memberikan kerjasama penuh ke arah usaha mengurangkan penggunaan air dan terus berjimat cermat bagi membolehkan bekalan air sedia ada dapat bertahan lebih lama.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan