Malaysia Manfaatkan Hubungan Baik Untuk Libatkan Negara Lain Dalam Misi SAR

Diterbitkan: Selasa, 18 Mac 2014 10:42 PM

Anifah Aman.

Anifah Aman.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia memanfaatkan hubungan baiknya untuk melibatkan 25 negara membantu dalam mencari pesawat MH370 yang hilang, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada Selasa.

Beliau berkata, negara-negara berkenaan juga bersedia menghulurkan bantuan daripada aspek kemanusiaan dalam usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER Malaysia Airlines (MAS) yang hilang pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Anifah berkata, Malaysia setakat ini telah menghantar nota diplomatik kepada 12 negara di koridor utara, menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan kepada dua negara di koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi, memohon bantuan dalam misi mencari dan menyelamat.

"Dan respons mereka amat baik. Ini adalah hasil hubungan baik Kuala Lumpur dengan semua negara itu. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah menghubungi presiden (dan pemimpin) untuk memohon bantuan mereka," kata beliau pada sidang media mengenai maklumat terkini pencarian MH370, di sini Selasa.

Sabtu lepas, Najib mengumumkan bahawa pencarian pesawat MH370 telah memasuki fasa baharu dengan tumpuan beralih dari Laut China Selatan di bahagian timur Malaysia ke koridor utara dan selatan, di bahagian barat.

Anifah juga berkata, sembilan negara lagi yang tidak tergolong di bawah kedua-dua koridor itu telah tampil untuk membantu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.

Beliau berkata, operasi sekarang amat kompleks oleh kerana Malaysia perlu berurusan dan menyelaraskan misi dengan 25 negara yang mengamalkan ideologi dan sistem kerajaan yang berbeza.

Ketika ditanya mengapa Malaysia tidak meminta bantuan daripada Iran, Anifah berkata, berdasarkan siasatan sekarang, setakat ini tiada keperluan untuk Kuala Lumpur menghubungi Tehran.

"Kerajaan tidak memerlukan Wisma Putra menghubungi kerajaan Iran dan saya percaya apa jua keperluan akan dikemukakan kepada Wisma Putra sekiranya perlu," katanya.

Jumaat lepas, Duta Iran ke Malaysia Mohammad Jalal Firouznia berkata, Tehran bersedia menawarkan sebarang bentuk bantuan jika diperlukan oleh Malaysia dalam mencari pesawat MH370.

Pada sidang media itu, Anifah membidas pihak-pihak yang mahu mencari publisiti murahan dengan mengambil kesempatan daripada insiden kehilangan Penerbangan MH370 itu untuk kepentingan politik.

"Isu ini membabitkan bencana besar dan oleh itu semua usaha harus ditumpukan bagi mencari pesawat itu," katanya.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut hadir pada sidang media itu, bersetuju bahawa operasi SAR mengatasi politik.

"Kami amat konsisten. Tumpuan utama kerajaan sejak hari pertama ialah mencari dan menyelamat pesawat MH370. Isu politik dibangkitkan oleh media asing. Pendirian kita kekal bahawa isu ini mengatasi politik," kata Hishammuddin ketika mengulas laporan berita yang mengaitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan insiden kehilangan MH370.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 12.41 pagi pada 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.


Tags / Kata Kunci: Anifah Aman , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan