PKR Kecam Dakwaan Daily Mail Tentang Kapten Zaharie-Anwar - Berita Semasa | mStar

PKR Kecam Dakwaan Daily Mail Tentang Kapten Zaharie-Anwar

Diterbitkan: Ahad, 16 Mac 2014 12:38 PM

zz

Kapten Zaharie (kiri) dan Anwar (kanan).

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemimpin PKR menolak laporan tabloid British, Daily Mail yang mendakwa kapten pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah merupakan seorang yang "fanatik politik."

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, laporan Daily Mail itu sebagai "tuduhan liar" dan akhbar itu "adalah tabloid sensasi yang dikenali untuk mensensasikan cerita."

"Dakwaan itu merupakan spekulasi liar buat masa ini.

"Jika ada data yang kukuh bagi menyokong dakwaan berkenaan, kita akan memberi tindak balas. Jika sesiapa di atas kapal (penerbangan) itu memilih untuk menghadiri perbicaraan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) itu adalah hak mereka kerana ia dilakukan di mahkamah terbuka.

"Kita tidak mahu perkara ini digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai saluran untuk menyerang PKR atau parti-parti di bawah Pakatan Rakyat," katanya kepada The Star Online.

Fahmi berharap Kerajaan Persekutuan tidak akan menggunakan peluang itu untuk "melabel" pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Ditanya jika Zaharie sering dilihat di majlis-majlis yang dianjurkan oleh PKR atau Pakatan Rakyat, Fahmi berkata, beliau tidak mengenali Zaharie secara peribadi.

"Saya berada di mahkamah sepanjang dua hari perbicaraan itu tetapi saya tidak ingat ada melihat dia. Lagipun, ia adalah satu pendengaran awam dan sesiapa sahaja boleh hadir.

"Saya tidak tahu mengenai dia sehingga berita tercetus tentang kehilangan pesawat pada Sabtu lalu," kata Fahmi.

Tabloid itu mendakwa Zaharie mengawal pesawat yang kemudiannya dilaporkan hilang selepas beberapa jam selepas beliau menghadiri perbicaraan kes liwat yang membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Anwar dihukum penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas tetapi telah dibebaskan dengan ikat jamin. Pesawar MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.40 pagi Sabtu.

Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, "bukan setitik bukti untuk menyokong spekulasi tersebut. Ia hanya spekulasi. Marilah kita berlaku adil kepada kapten yang turut hilang. Beliau tidak dapat menjawab bagi dirinya sendiri."

Surendran, yang juga Ahli Parlimen Padang Serai berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung pesawat MAS yang hilang.

"Setiap sudut , tidak kira berapa jauh dan mustahil perlu dipertimbangkan.

"Tetapi tidak ada satu pun bukti untuk menyokong dakwaan itu pada ketika ini. Ia masih spekulasi. Biarkan pihak berkuasa menyiasat kaitan ini secara adil dan profesional," katanya.

Ketika ditanya sama ada PKR akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tabloid berkenaan, Surendran berkata, beliau tidak fikir partinya perlu melakukannya.

"Saya tidak fikir PKR perlu mengambil apa-apa tindakan fitnah terhadap The Mail. Begitu banyak teori sejak seminggu lalu. Dan ini adalah terbaharu dalam rentetan teori yang berpanjangan," katanya.

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan