Nelayan Temui Rakit Keselamatan Berhampiran Port Dickson

Diterbitkan: Rabu, 12 Mac 2014 4:38 PM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Sekumpulan nelayan di laut mendakwa menemui objek yang kelihatan seperti sebuah rakit keselamatan kira-kira 10 batu nautika dari bandar peranginan di sini.

Mereka mendakwa telah menemui objek menyerupai rakit keselamatan dengan tulisan 'Boarding' yang dicetak di atasnya kira-kira tengah hari Selasa.

Nelayan Azman Mohamad, 40, berkata, mereka dengan serta-merta memberitahu pihak berkuasa apabila bertemu objek itu.

"Kami telah mengikuti berita tentang kehilangan penerbangan Malaysia Airlines dan bimbang jika ini mungkin rakit keselamatan dari pesawat," katanya, sambil menambah bahawa kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari Kuala Linggi di Melaka telah digerakkan ke kawasan itu.

Azman berkata nelayan berjaya mendapatkan rakit itu dan dibawa ke perahu mereka sementara menunggu pasukan APMM.

Rakit keselamatan yang ditemui sekumpulan nelayan pada Selasa.

Walau bagaimanapun, rakit tersebut tenggelam apabila ia diserahkan kepada pegawai-pegawai APMM.

Sementara itu Bernama melaporkan APMM tidak dapat mengesahkan bahawa objek yang ditemui sekumpulan nelayan itu merupakan rakit keselamatan sebuah kapal terbang.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata APMM telah menerima laporan berhubung penemuan objek tersebut daripada nelayan dan mengarahkan anggotanya di APMM Daerah Kuala Linggi di Alor Gajah dekat sini ke kawasan itu untuk melakukan siasatan.

"Apabila anggota APMM cuba ambil alih objek itu daripada nelayan, objek itu terlepas dan tenggelam ke dalam laut...mungkin kerana tali yang digunakan itu reput," katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.

Namun, katanya nelayan terbabit sempat merakam gambar objek berkenaan yang telah tersiar di laman portal sebuah akhbar dan meminta mana-mana pihak termasuk Malaysian Airlines untuk tampil memberikan maklumat mengenai objek berkenaan.


Tags / Kata Kunci: rakit , rakit keselamatan , apmm , port dickson , mh370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan