Polis Kenal Pasti Warga Iran Guna Pasport Palsu Naik Pesawat MH370

Diterbitkan: Selasa, 11 Mac 2014 3:56 PM

Penolong Urusetia Ketua Polis Negara Komunikasi Korporat ACP Datin Asmawati Ahmad menunjukan gambar dua penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 menggunakan pasport palsu selepas sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selasa. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Polis mengenal pasti warganegara Iran, Pouria Nour Mohd Mehdad, 19, sebagai seorang daripada dua penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 menggunakan pasport palsu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki itu menggunakan pasport warga Austria yang sebelum ini dilapor hilang di Thailand oleh pemiliknya.

Lelaki warga Iran ini dipercayai akan berpindah ke Jerman dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas, katanya dalam sidang media, di sini Selasa.

Khalid berkata, identiti seorang lagi penumpang yang menggunakan pasport warga Itali masih disiasat.

Polis kini menyiasat latar belakang semua 239 orang yang menaiki pesawat tersebut dan siasatan diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Abdul Hadi Ho Abdullah, katanya.

Menurut Khalid, siasatan menyentuh empat aspek iaitu pesawat itu dirampas, disabotaj, keadaan psikologi penumpang dan masalah peribadi antara penumpang pesawat.

Penerbangan MH370 yang dikendalikan oleh pesawat Boeing 777-200 dari Kuala Lumpur ke Beijing dilapor hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal, sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Media kemudian melaporkan dua daripada penumpang MH370 didapati menggunakan pasport palsu. Kedua-dua pasport itu sebelum ini dilapor hilang di Thailand, setelah kedua-dua pemiliknya disahkan masih hidup dan tidak menaiki pesawat tersebut.

Tags / Kata Kunci: MH370 , Khalid Abu Bakar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan