Dr Mahathir Bertemu Keluarga Mangsa Pesawat MH370

Diterbitkan: Isnin, 10 Mac 2014 11:43 PM

Dr Mahathir dan anaknya yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (duduk, dua kiri) menziarahi ahli keluarga penumpang pesawat MAS MH370 yang hilang di hotel penginapan di Putrajaya pada Isnin. 
Turut sama ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. - fotoBERNAM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada Isnin bertemu dengan keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kini ditempatkan di The Everly Hotel di sini. 

Pertemuan kira-kira sejam itu turut disertai Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan isteri Datin Seri Norzieta Zakaria.

Ketika ditemui pemberita, Dr Mahathir berkata beliau berharap tiada yang menunding jari kepada pihak yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370. 

"Perkara itu tidak akan menyelesaikan masalah," kata beliau dan enggan mengulas lanjut.

Sementara itu Mukhriz berkata beliau bertemu dengan empat keluarga mangsa yang berasal dari Kedah dan menyampaikan rasa simpati serta sokongan moral kepada mereka.

"Saya dapat bayangkan betapa sukarnya... mereka meluahkan perasaan bahawa amat sukar menunggu begitu lama tetapi maklumat yang diperoleh cuma sedikit.
Mereka juga menyatakan tidak mahu menerima maklumat palsu yang membuahkan harapan namun akhirnya kecewa setelah harapan itu tidak menjadi kenyataan.

"Harap-harap mereka yang menggunakan media sosial lebih sensitif dalam perkara ini," katanya.

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam Jumaat dan sepatutnya dijadual tiba di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu.
Tags / Kata Kunci: Tun Mahathir , MH370 , Beijing , KLIA , MAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan