Perubahan Calon Lawan Tak Ubah Strategi BN Dekati Rakyat - Khairy

Diterbitkan: Isnin, 10 Mac 2014 8:21 PM

Khairy mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pemuda BN di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur pada Isnin.-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan mengubah strategi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang semata-mata parti lawan menukar calon mereka, kata Khairy Jamaluddin.

Pengerusi Pemuda BN itu berkata pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan memberi kesan besar kepada jentera BN kerana fokus kempen tetap sama, iaitu memperkenalkan calon, menerangkan dasar kerajaan serta memperjelaskan isu dibangkitkan lawan.

"Sama ada calon itu suaminya atau isteri, persiapan tetap sama, kita nak pastikan bahawa (calon BN Datin Paduka) Chew (Mei Fun) dapat jumpa seramai mungkin pengundi bagi jelaskan sebarang perkara yang perlu diberi penekanan.

"Strategi tidak akan berubah semata-mata ada perubahan calon di pihak lawan, siapa pun mereka, kita akan teruskan kempen untuk promosikan calon yang diketengahkan parti," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN di Menara Dato Onn di sini Isnin.

Pada Ahad, Anwar yang tidak boleh bertanding selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun setelah didapati bersalah pertuduhan meliwat oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas, mengumumkan Dr Wan Azizah sebagai calon baharu mewakili parti itu bagi pilihan raya kecil itu yang dijadualkan berlangsung 23 Mac.

Berhubung penarikan diri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, Khairy berkata sama ada Zaid bertanding atau tidak, BN tidak mengharapkan calon ketiga untuk mendapat sebarang kelebihan.

Beliau berkata kebergantungan kepada calon ketiga merupakan pendekatan tidak optimis, sedangkan BN lebih menekankan kepada pengundi mengundi kerana mereka meyakini BN, bukannya disebabkan dakwaan calon ketiga pecahkan undi parti lawan.

Mengenai bentuk kempen BN yang sebelum ini dikatakan lebih terarah kepada usaha menghalang Anwar daripada menjadi Menteri Besar Selangor, Khairy berkata soal itu tidak timbul kerana keputusan bertanding lebih kepada usaha menawarkan seorang wakil rakyat yang lebih dedikasi dalam memperjuangkan nasib penduduk Kajang.

Dalam perkembangan lain, Khairy meminta Pemuda BN di seluruh negara mendoakan keselamatan penumpang pesawat MH370 yang masih hilang termasuk mengadakan solat hajat bagi yang beragama Islam. 

Tags / Kata Kunci: BN , DUN Kajang , Wan Azizah , Khairy , Ketua Pemuda Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan