Ramai Ingat Kak Wan Hampir Mahu Bersara Tapi Kini Beliau Kembali

Diterbitkan: Isnin, 10 Mac 2014 4:32 PM

Gambar fail - Wan Azizah menemani Anwar membuang undi di Permatang Pauh pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu.

(Ubah saiz teks)

APABILA Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan yang beliau tidak akan menoleh ke belakang dan menangisi hukuman penjara yang dikenakan ke atas suaminya, hanya segelintir yang membayangkan beliau akan membuat satu langkah yang besar.

Ini kerana bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengekalkan profil yang rendah sejak pilihan raya umum yang lalu. Kemunculannya yang sekali-sekala itu lebih dilihat sebagai mengiringi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada muncul sebagai presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah peranan utamanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah untuk mengiringi suaminya keluar masuk mahkamah. Wan Azizah jarang-jarang sekali mengeluarkan pandangan mengenai isu yang berkaitan hal ehwal parti sebaliknya akan duduk bersebelahan suaminya tanpa berkata apa-apa apatah lagi personaliti Anwar mendominasi yang lain.

Tetapi nampaknya, semua orang telah memandang enteng terhadapnya kerana kini wanita yang dikenali dengan sarung tangan hitam dan kipas kecil yang dilipat di tangan itu adalah calon PKR untuk pilihan raya kecil Kajang tidak lama lagi. 

Walaupun namanya disebut-sebut sebaik sahaja Anwar didapati bersalah tetapi ramai yang tidak memandang serius kerana menganggap beliau kini berada di dalam mode separuh bersara.

Lagi pun, Kak Wan yang sudah pun mencecah usia 61 tahun sudah menjadi nenek kepada cucu yang ramai dan sememangnya beliau tidak dilihat sebagai seorang politikus yang semulajadi sepertimana suaminya.

Bagaimanapun, maklum balas daripada masyarakat umum mengenai pencalonannya secara umumnya diterima dengan positif. Jika ini berlaku di dalam parti lain, ia akan dilihat sebagai satu amalan nepotisme tetapi dengan Kak Wan, situasinya agak berbeza sedikit. 

Beliau dilihat sebagai seorang wanita yang lemah lembut, dan kesetiaannya kepada komitmen politik serta kes suaminya sentiasa dikagumi walaupun kepada mereka yang tidak mengagumi Anwar.

Wan Azizah juga dilihat sebagai teladan seorang isteri yang unggul  yang taat dan setia kepada suaminya malah dilihat sebagai seorang yang terpaksa merana kepada perjuangan dan cita-cita besar seorang ahli politik yang kontroversi.

Kini, sebagai calon PKR, beliau akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun - untuk merebut undi lebih-lebih lagi undi wanita.

Tidak sepertimana Anwar yang mungkin akan menghadapi ujian yang getir dalam memenangi undi Melayu di Kajang, tetapi Wan Azizah akan berupaya untuk menarik undi 'kesian' atau simpati di kalangan pengundi-pengundi Melayu.

Pencalonannya, sepertimana kata seorang peguam dari Pulau Pinang, akan memberi isyarat yang jelas bahawa mahkamah bukan sekadar menghukum suaminya tetapi turut menghukum seisi keluarga.

"Ini adalah saikologi di belakang pencalonan Wan Azizah iaitu untuk mengambarkan yang beliau turut sengsara. Meletakkan Wan Azizah di Kajang adalah untuk mengeksploit faktor emosi," kata peguam itu. 

Tapi keseluruhannya, Wan Azizah adalah calon yang kurang masalah berbanding Anwar. 

"Beliau telah dilihat sebagai presiden yang pasif tetapi pada masa yang sama kehadirannya telah membantu mengukuhkan parti itu agar tidak berpecah dan beliau tidak terpalit dengan sebarang kontroversi," kata Khoo Kay Peng, seorang penganalisa dan konsultan pengurusan. 

Malah sebuah portal berita telah pergi setapak ke hadapan dengan berkata apakah beliau akan mencipta sejarah sebagai menteri besar wanita yang pertama.

Namun begitu, masalah Wan Azizah di Kajang nanti dilihat akan muncul dari kalangan partinya sendiri. Pengumumannya sebagai penganti Anwar tidak kelihatan seperti mendapat sokongan seratus dari kalangan ahli parti lebih-lebih lagi ketika ia dibuat, Azmin Ali, timbalan presiden dan pengerusi PKR Selangor tidak hadir pada sidang akhbar tersebut.

Dan mereka yang dilihat sebagai penyokong Azmin juga tidak kelihatan pada sidang akhbar mengumumkan nama Wan Azizah sebagai calon. Contoh yang paling ketara ialah Ketua Wanita, Zuraidah Kamaruddin, Ketua Angkatan Muda PKR Selangor, Azmizam Zaman Huri dan Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Amiruddin Shari.

Proses memperkenalkan calon adalah sangat penting dalam mana-mana pilihan raya atau pilihan raya kecil tetapi nama-nama besar dalam PKR Selangor ini tidak muncul ketika nama Wan Azizah diumumkan.

Sumber-sumber dalaman PKR memberitahu, satu pertemuan yang tidak dirancang telah berlangsung sebaik sahaja selesai Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam Sabtu lalu yang antara lain dikatakan Zuraidah telah mengetuai pertemuan tersebut untuk menamakan calon yang sesuai bagi mengantikan Anwar untuk pilihan raya kecil Kajang.

Adalah amat jelas, garisan pertempuran di Selangor adalah di antara kem Azmin dan kem Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tetapi kedua-dua kem ini dikatakan telah bersetuju bahawa calon yang akan mengantikan Anwar mestilah seorang yang bertaraf nasional namun mereka menemui jalan buntu siapakah yang patut diketengahkan.

Ketua PKR Hulu Selangor, Nazar Yakin dari kem Azmin telah menamakan Zuraidah dan Rafizi Ramli untuk dipertimbangkan. Zuraidah dilihat sebagai anak jati berasal dari Sekamat, Kajang. Dia dikatakan masih memiliki rumah di sana. 

Tetapi kem Khalid yang diketuai oleh Senator Syed Shahir Syed Mohamud yang juga ketua PKR Kelana Jaya menamakan Wan Azizah. Mereka yakin Wan Azizah akan mampu menarik undi simpati kepada PKR.

Kem Azmin berhujah, kembali kepada Wan Azizah akan dilihat sebagai munder ke belakang dan tidak menghantar isyarat yang betul kepada generasi muda yang lebih progresif. 

Amiruddin yang juga ahli dewan undangan negeri Batu Caves kemudiannya dikatakan telah diamanahkan untuk mengirim nama calon-calon yang difikirkan sesuai kepada pucuk pimpinan. 

Dr Neil Khor, seorang sejarahwan sosial berkata, memilih Wan Azizah adalah satu keputusan yang logikal untuk jangka masa pendek tetapi keputusan seperti ini akan hanya menghalang evolusi dan pertumbuhan parti untuk jangka masa panjang.

Pada masa yang sama, beberapa pemimpin PKR Selangor terkejut apabila Anwar menyatakan yang dia pada mulanya mahu menamakan Saifuddin Nasution Ismail sebagai penganti kerana nama setiausaha agung itu tidak disebut langsung dalam senarai yang dikemukakan oleh PKR Selangor.

Tetapi kenapa Saifuddin pada akhirnya tidak disenaraikan juga adalah sesuatu yang mengejutkan jika benar dia yang dikehendaki oleh Anwar kerana kerusi Kajang dilihat sebagai kerusi selamat oleh PKR.

Namun, tiada siapa juga dapat meneka sama ada pemilihan Wan Azizah adalah berdasarkan nama yang disenaraikan oleh PKR Selangor. Secara rasminya  tidak ada mesyuarat Biro Politik yang berlangsung untuk membincangkan tentang senarai calon pilihan raya kecil Kajang dan kita hanya sekadar boleh mengandaikan yang ia adalah keputusan yang dibuat oleh orang yang paling berkuasa dalam parti itu.

PKR sentiasa dan akan sentiasa berkisar mengenai Anwar.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan