Syarikat Minuman Kesihatan Dikesan Guna Tiga Logo Tidak Sah

Diterbitkan: Jumaat, 7 Mac 2014 6:09 PM

Dr Saharuddin Awang Yahya menunjukkan logo tidak sah yang digunakan sebuah syarikat pengeluar minuman kesihatan dan kecantikan pada satu produk keluarannya pada sidang media di Melaka, Jumaat. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Sebuah syarikat tempatan yang mengeluarkan minuman penjagaan kesihatan dan kecantikan dikesan menipu dengan menggunakan tiga logo perakuan tidak sah pada produknya.

Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) Datuk Seri Prof Dr Saharuddin Awang Yahya berkata produk berasaskan buah-buahan termasuk epal hijau dan anggur itu menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, SIRIM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak mendapat kelulusan daripada agensi itu.

"Produk yang didakwa berfungsi merangsang pertumbuhan sel baharu dengan lebih optimum itu juga didapati menggunakan nombor paten bagi produk kosmetik," dakwanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.

LPKPM juga sedang mendapatkan pengesahan daripada KKM sekiranya bahan di dalam produk itu selamat digunakan, katanya.

Saharuddin berkata setakat ini pihaknya menerima 10 aduan daripada pengguna berhubung kesahihan logo pada produk yang menjadikan seorang pelakon dan penyanyi terkenal sebagai duta.

Justeru itu, beliau menasihatkan golongan artis yang dilantik sebagai duta minuman dan produk kecantikan, kesihatan serta kosmetik agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam memilih produk dan tidak hanya memikirkan soal bayaran yang diterima.

Dalam pada itu, katanya LPKPM sedang menyiasat lima lagi produk makanan kesihatan yang sedang popular di pasaran bagi mendapat pengesahan status keselamatan dan kelulusannya daripada pihak berkuasa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan