Pengamal Industri Kreatif Digalakkan Daftar Dengan CCIG

Diterbitkan: Jumaat, 7 Mac 2014 10:20 AM

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi (enam, kiri) bergambar bersama penerima-penerima sijil pengakuan sah industri pada majlis penyampaian sijil tersebut di Finas di sini malam Khamis. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengamal industri kandungan kreatif di negara ini digalakkan mendaftar dengan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) agar kepakaran mereka diiktiraf.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selain memiliki diploma atau ijazah di dalam bidang itu, pengiktirafan juga diperlukan memandangkan pihak industri kini mementingkan pengalaman, kemahiran, sumbangan serta pencapaian selain ilmu dan etika kerja.

"Pengakuan sah daripada industri ini boleh menjadi satu sistem tapisan bagi membantu kerajaan serta agensi-agensinya mengenal pasti individu atau pengamal yang diiktiraf layak diberikan bantuan menggunakan dana yang diberi kerajaan," katanya.

Ahli berdaftar CCIG diharap bersatu memberi sokongan dalam konteks penyusunan tenaga kerja industri selain membantu CCIG muncul sebagai badan pengakuan sah yang dipimpin industri," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Sijil Pengakuan Sah Industri kepada 123 pengamal industri kandungan kreatif di sini, malam Khamis.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Ahmad Shabery berkata, pengiktirafan industri kini dilihat semakin penting dan dijangka menjadi lebih penting lagi pada masa akan datang.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut dilantik sebagai Ahli Kehormat CCIG.

Ahmad Shabery berkata, kerajaan merumuskan beberapa strategi transformasi berkesan menggemblengkan sumber dalam negara bagi menjana kekayaan industri kandungan kreatif di negara ini.

"Satu daripada tumpuannya ialah dengan menyusun tenaga kerja industri supaya bersedia menghadapi tuntutan global pasaran dunia," katanya.

Menyentuh mengenai bantuan serta sokongan kerajaan kepada industri itu, Ahmad Shabery berkata, kerajaan memperuntukkan pelbagai dana pada 2011 bagi membolehkan industri sendiri menyusun tenaga kerja sedia ada melalui sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai badan induk pengakuan-sah kepada pengamal industri.

Beliau berkata, kejayaan terbesar CCIG sejak ditubuhkan Ogos 2011 ialah merumuskan sebuah kerangka pengiktirafan industri yang disiapkan pada 2012 dan telah dibentangkan kepada Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) pada Disember tahun sama dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada Januari tahun lepas untuk dilaksanakan.

"Kerangka Pengiktirafan Industri Kandungan Kreatif itu adalah satu hasil kerja melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi pengajian tinggi serta industri untuk tujuan sama iaitu memastikan ia bersifat profesional, berintegriti dan telus," katanya.

Sehingga Februari lepas, lebih 4,000 pengamal industri kandungan kreatif telah mendaftar dengan CCIG.

Tags / Kata Kunci: industri kreatif , ahmad shabery cheek , ccig

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan