Langkah Ketat Perlu Diambil Walaupun Wujud Kos Politik - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 7 Mac 2014 5:21 PM

Najib Tun Razak.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengaku sebahagian daripada langkah ketat yang diambil bagi mengukuhkan kewangan negara, termasuk mengurangkan subsidi, mungkin akan mempunyai kos politik kepadanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, 'apa yang perlu dilakukan, mesti dilakukan' demi kepentingan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Sri Dr Mohamed Munir Abdul Majid, Pengerusi Bank Muamalat dan Felo Pelawat Kanan, London School of Economics, semasa perbincangan panel di Sidang Kemuncak Ekonomi dan Dialog Nasional bersama Perdana Menteri Malaysia, di sini Jumaat.

Munir menyifatkan semua langkah yang diambil Najib untuk mengatasi defisit fiskal adalah ke arah yang betul.

Menurutnya, ini termasuk memperluas asas cukai dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), bagaimanapun ia memberi kesan politik kepada Najib.

Munir berkata, pelbagai isu politik dan sosial telah timbul berikutan kenaikan kos dan beliau menyoal Perdana Menteri mengenai tindakan bagi menangani isu terbabit kerana ia sama penting dengan agenda ekonomi dan tahap keyakinan rakyat.

Perdana Menteri berkata, mengurangkan subsidi telah menjadi prospek membimbangkan dan ramai pemimpin negara lain menghadapi masalah yang sama apabila mengkaji semula subsidi yang tidak mampan.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu dilakukan dan kunci untuk mengurangkan subsidi ialah dengan melaksanakannya secara beransur-ansur.

"Pada masa yang sama rangkaian keselamatan sosial yang kukuh perlu diwujudkan. Itulah sebabnya mengapa kerajaan melaksanakan subsidi bersasar, bagi memastikan ia tidak memberi kesan besar kepada kategori penduduk berpendapatan rendah dengan penghapusan subsidi itu.

Menghapuskan subsidi, bagaimanapun tidak boleh dilakukan semalaman kerana ia akan menjadi drastik, kata Najib, dengan memberi contoh negara Iran yang bertindak sedemikian, walaupun ia memberi pampasan tunai kepada rakyatnya.

Mengenai usaha mengurangkan kesan politik dan sosial berikutan langkah fiskal, Najib berkata, komunikasi yuang lebih baik dan berkesan perlu dilakukan bagi menerangkan tindakan yang telah diambil dan faedahnya kepada rakyat.

"Kita masih lemah dalam perkara ini kerana langkah kewangan yang diambil kerajaan berkualiti baik tetapi usaha memasarkannya tidak dilakukan sebaik itu," katanya.

Berikutan itu, katanya, kerajaan sedang berusaha keras menjelaskan tindakan yang diambil kepada rakyat.

Najib juga berkata, media sosial telah muncul sebagai pembentuk pendapat umum nombor satu di negara ini dengan televisyen di tempat kedua dan media cetak di tempat ketiga. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan