Anwar Tidak Boleh Tanding PRK Kajang - Karpal

Diterbitkan: Jumaat, 7 Mac 2014 11:49 PM

Karpal bersama dengan Anwar ketika bercakap kepada pemberita di luar mahkamah. - foto MOHD SAHAR MISNI/The Star

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Karpal Singh, peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat, ketua pembangkang itu tidak boleh bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang.

"Berikutan sabitan kesalahan beliau hari ini, Anwar tidak boleh memfailkan kertas pencalonan untuk pilihan raya kecil Kajang pada 11 Mac (Selasa), " katanya kepada pemberita di mahkamah pada Jumaat.

Anwar dikenakan hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan hari ini setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, kira-kira enam tahun lepas.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, yang mengetuai panel tiga hakim dalam pendengaran rayuan pihak pendakwaan, bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan mengenakan ikat jamin RM10,000, yang perlu dijelaskan sebelum pukul 11 pagi Isnin.

Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar, Hakim Balia berkata panel itu sebulat suara memutuskan bahawa hakim perbicaraan terkhilaf dalam penemuannya bahawa sampel DNA digunakan dalam kes berkenaan, telah dicemar.

Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful (ketika itu berusia 23 tahun), di sebuah unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pada 28 Jan tahun ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menamakan Anwar sebagai calon pakatan pembangkang untuk pilihan raya kecil Kajang setelah anggota dewan undangan negeri kawasan itu daripada PKR Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi berkenaan sehari sebelumnya.

Karpal Singh berkata mengikut Akta Pertubuhan, Anwar yang merupakan penasihat PKR, juga tidak boleh bertanding jawatan presiden PKR pada pemilihan parti itu Mei ini.

Katanya pihak pembelaan akan memfailkan rayuan Isnin ini selepas semua urusan ikat jamin selesai.

Beliau berkata mereka mempunyai masa 14 hari untuk memfailkan notis rayuan.

Sementara itu, ketika menyuarakan pendapat serupa, peguam R. Sivarasa berkata Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tidak membenarkan Anwar, yang disabitkan kesalahan, bertanding pada pilihan raya kecil itu dan tidak boleh mengemukakan kertas pencalonan Selasa ini. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan