"Memang Sikap Pembangkang Suka Tuding Jari Kepada Umno" - Jahara

Diterbitkan: Khamis, 6 Mac 2014 7:28 PM

Jahara Hamid.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid pada Khamis membidas exco kerajaan negeri Dr Afif Bahardin kerana mendakwa Umno memutar belit kenyataannya di Twitter yang menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jahara berkata sudah menjadi kebiasaan pakatan pembangkang menuding jari kepada Umno bagi menutup keburukan dan kelemahan mereka apabila sesuatu isu dibangkitkan.

"Kita ni tak ada kerja lain ke nak manipulasikan dia punya kenyataan," katanya yang turut menyifatkan tindakan Dr Afif itu sebagai satu politik murahan.

Jahara yang ditemui pada majlis pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2014 hingga 2016 di sini, diminta mengulas kenyataan Dr Afif yang melahirkan rasa sedih kerana catatan Twitter beliau diputar belit secara jahat oleh Umno dan Barisan Nasional untuk memperlihatkannya sebagai musuh kepada polis.

Pada Rabu, Dr Afif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya memuat naik status di laman Twitternya berbunyi

"Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah".

Dr Afif dalam kenyataan yang dihantar kepada Bernama hari ini, berkata catatan Twitter beliau sebenarnya dengan jelas tidak merujuk kepada sesiapa apatah lagi kepada mangsa yang terkorban ketika mempertahankan negara.

"Saya difahamkan bahawa tweet saya semalam telah disalah erti sebagai tidak menghormati pihak polis dan keluarga Allahyarham Koperal Raja Aizam Raja Mohd (yang terkorban ketika menjalankan tugas)," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Raja Aizam.

Dr Afif bagaimanapun berkata beliau tidak akan berganjak daripada prinsip bahawa Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa lain mesti memberi perhatian yang sewajarnya kepada kes-kes kematian dalam tahanan.

Mengulas lanjut, Jahara yang juga Adun Teluk Air Tawar berkata tindakan Dr Afif memuat naik status itu sangat mengecewakan, sekali gus menggambarkan pembangkang berterusan mempunyai sentimen kebencian terhadap PDRM.

Mengulas mengenai insiden Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang 'dihadiahkan' sebiji telur busuk oleh seorang lelaki ketika ceramah di Permatang Pauh, dekat sini malam Rabu, Jahara berkata Kok seharusnya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat tindakannya yang membangkitkan kemarahan masyarakat.

"Beliau telah mengeluarkan kenyataan yang kontroversi jadi beliau mesti bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu Kok dihampiri seorang lelaki dan telur busuk yang berada dalam genggaman lelaki berkenaan pecah ketika mereka bersalaman.

Susulan itu, keadaan bertukar kecoh dan Kok segera dibawa keluar dari tempat ceramah dengan kawalan ketat Unit Amal PAS, manakala lelaki terbabit ditahan penyokong pakatan pembangkang sebelum diserah kepada polis. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan