PM Percaya Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Jadi Pemangkin Kegiatan Ekonomi

Diterbitkan: Rabu, 5 Mac 2014 11:33 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menaiki bas melawat Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah selepas majlis perasmian jambatan tersebut 1 Mac lalu. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak percaya jambatan kedua Pulau Pinang iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kegiatan ekonomi bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di wilayah utara Semenanjung.

Perdana Menteri berkata jambatan yang dirasmikan pada Sabtu lepas itu juga adalah satu lagi bukti usaha tidak berbelah bahagi kerajaan Persekutuan dalam menepati janji-janjinya.

"Tiada yang lebih penting daripada tekad kami untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat. Saya berharap agar rakyat di wilayah utara dapat mengambil peluang dari pembangunan yang dijana oleh projek Jambatan Kedua ini.

"Jambatan ini dibina untuk anda. Ia dibina untuk kesejahteraan anda, manfaatkanlah sebaik mungkin," katanya dalam blog beliau www.1malaysia.com.my, Rabu.

Selain daripada fungsi utamanya menyediakan akses dan hubungan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Najib menjangkakan jambatan itu bakal menjadi sebuah ikon nasional sama seperti Jambatan Golden Gate di San Francisco, Amerika Syarikat dan Jambatan Pelabuhan Sydney di Australia.

Najib berkata beliau sentiasa berpegang teguh kepada idea bahawa sistem pengangkutan yang efisien adalah satu daripada komponen penting pertumbuhan ekonomi kerana perdagangan dalam negara disemarakkan oleh pergerakan barangan dan tenaga kerja.

"Atas sebab inilah pihak kerajaan telah merangka pelan berpanjangan untuk memperbaiki infrastruktur dan sistem pengangkutan awam, termasuk LRT, MRT, penambahbaikan dalam hubungan dan akses rel, lebuh raya-lebuh raya di sekitar Semenanjung dan Malaysia Timur, dan sebagainya, demi memastikan mobiliti sosial untuk setiap rakyat Malaysia," katanya.

Dibina dengan kos RM4.5 bilion, rakyat di utara kini boleh berharap untuk mengalihkan fokus ekonomi mereka daripada pertanian kepada industri, kata Najib.

"Saya difahamkan dan berharap sebanyak 65,000 peluang pekerjaan akan dicipta oleh projek-projek pembangunan di sekitar jambatan ini.

"Teras utama kerajaan selama ini hanyalah untuk menepati janji-janji kami, bahawa setiap rakyat Malaysia akan dapat manfaat dari mana-mana projek pembangunan Persekutuan," katanya.

Najib berkata jambatan yang diilhamkan pembinaannya oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1995, adalah satu titik pencapaian yang penting untuk Malaysia atas banyak sebab.

"(Ilham) ini disusuli dengan cadangan Tun Abdullah (bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi) bahawa jambatan ini haruslah dibina di bahagian selatan Pulau Pinang agar ia dapat merangsang pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri utara, terutamanya di Wilayah Koridor Ekonomi Utara," katanya.

Beliau berkata jambatan yang menghubungkan Batu Maung di sebelah pulau dan Batu Kawan di Seberang Perai akan berfungsi sebagai lintasan alternatif ke Pulau Pinang.

Jumlah kenderaan yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang (jambatan pertama), yang dibina pada tahun 1985, dianggarkan meningkat 68 peratus iaitu 67,000 kenderaan menjelang tahun 2020, katanya.

"Maka, lintasan kedua ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas keluar masuk ke Pulau Pinang. Saya yakin bahawa ini akan melonjakkan potensi pendapatan serta kualiti hidup masyarakat yang tinggal di kawasan-kawasan sekitar," katanya.

Jambatan itu, yang dibina sepanjang 24 kilometer atau 16.9 kilometer di atas laut adalah jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan satu mercu tanda kejuruteraan moden, kata Najib.

Menurutnya, ia juga adalah yang terpanjang di dunia yang mengaplikasikan Sistem Galas Getah Rendaman Tinggi (HDRB) yang mana ia mampu menahan gegaran gempa bumi sehingga 7.5 pada skala Richter.

"Satu lagi ciri inovatif dalam pembinaan jambatan ini adalah penekanan kepada aspek mesra alam dalam reka bentuk dan pembinaan plaza-plaza tol pada jambatan ini.

"Ia diiktiraf dengan akreditasi Indeks Bangunan Hijau (GBI) Emas. Usaha ini dilaksanakan demi mencapai efisiensi tenaga, kualiti persekitaran dalaman dan kemampanan dalam operasi plaza tol," katanya

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan