Empat Juta Bumiputera Terima Manfaat Penubuhan Mara - Najib

Diterbitkan: Selasa, 4 Mac 2014 10:43 AM

Najib (dua, kanan) melakukan simbolik perasmian Menara Mara sempena Sambutan Hari Mara Ke-48 di Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam Isnin. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lebih empat juta bumiputera di negara ini mendapat manfaat daripada penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara) 48 tahun lepas, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata jumlah itu merangkumi pelbagai golongan, antaranya pelajar, usahawan kecil dan tokoh korporat yang dibantu menerusi kewujudan pelbagai skim.

"Langkah berkenaan banyak memberi keadilan kepada penduduk di luar bandar yang sedikit sebanyak terpinggir daripada arus pemodenan.

"Contohnya, penduduk di kawasan pedalaman Hulu Tembeling di Pahang, sudah tentulah keadaan mereka berbeza dengan penduduk di Bukit Tunku atau Kenny Hills.

"Tentulah anak-anak dari kawasan pedalaman ini akan tersisih dan terpinggir jika agensi seperti Mara dan agensi kerajaan lain tidak pernah wujud di negara kita," katanya ketika berucap merasmikan Menara MARA sebagai simbolik sambutan ulang tahun ke-48 agensi berkenaan di sini malam Isnin.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa dan beberapa anggota Kabinet.

Perdana Menteri berkata pembangunan dan pemerkasaan golongan bumiputera akan sentiasa menjadi agenda nasional meskipun dipertikai pihak lain.

"Umum sedar dunia kini semakin kompetitif dan kerana itulah, syarat utama memperoleh bantuan Mara ialah pemohon perlu datang daripada golongan bumiputera kerana mereka layak dibantu.

"Kita ingin bantu mereka yang benar-benar komited dan ada kesungguhan untuk berjaya. Kita tidak lagi mahu seperti dulu yang mana kita bagi bantuan tetapi kemudian dia gulung tikar, atau hidup segan mati tidak mahu," katanya.

Najib turut menyelar sesetengah pihak yang menyalah guna bantuan kerajaan demi kepentingan sendiri sehingga sanggup menipu untuk meraih keuntungan semata-mata.

"Saya tidak suka orang tipu saya. Pernah mereka ini jumpa saya dengan muka sedih. Mereka ini melobi tetapi bukan untuk perniagaan sendiri.

"Saya suka dengan perniagaan yang membawa untung seperti hotel Mara di luar negara, yang saya difahamkan telah melambung nilainya," kata beliau.


MEGAH... Menara Mara setinggi 30 tingkat yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersempena Sambutan Hari Mara ke-48 di Kuala Lumpur, malam Isnin. -fotoBERNAMA

Menara Mara setinggi 30 tingkat dibina bercirikan reka bentuk komersial kontemporari serta berkonsepkan latar tradisi Melayu progresif seperti elemen seni anyaman Melayu dan Cokmar.

Ia dibina pada 2007 dan siap pada 2012, yang turut menempatkan pelbagai keperluan rasmi Mara seperti pusat latihan, ruang niaga, pejabat dan hotel bertaraf empat bintang.

Sementara itu, Mohd Shafie dalam ucapannya, berkata kemudahan yang ditawar itu mampu membantu usahawan bumiputera bersaing dalam dunia perniagaan dan perkhidmatan komersial.

Beliau berkata Mara akan mewujudkan ekosistem yang mampu membuka peluang baharu kepada bumiputera melalui pembangunan projek di bawah konsep Edubizpark.

"Edubizpark merupakan projek pembangunan yang menempatkan Institusi Pendidikan Mara sebagai pemangkin kepada penciptaan peluang perniagaan di samping pewujudan ruang niaga berdasarkan segmen perniagaan yang ditetapkan," katanya.

Mohd Shafie berkata projek pertama di bawah konsep ini ialah Asia Aerospace City (AAC) Subang yang memfokus kepada pusat perkhidmatan kejuruteraan aeroangkasa dan dijangka mencecah US$1 trilion menjelang 2020 sekali gus bakal membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata Mara kini digerak menerusi 542 pusat di dalam dan luar negara, termasuk anak syarikat, dengan kekuatan warga kerja berjumlah 18,563 orang.


Tags / Kata Kunci: Empat Juta , Bumiputera , Najib , Mara

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan