Anak-Anak Pasangan Yang Dibicarakan Di Sweden Rindukan Ibu Bapa

Diterbitkan: Selasa, 4 Mac 2014 10:05 PM

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin (tiga, kanan) beramah mesra bersama empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden di kediaman keluarga mereka di Kampung Wakaf Tok Wali di Kota Baharu, Selasa.

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Dalam kesibukan bersekolah dan menjalani kehidupan harian di sini, empat anak pasangan warga Malaysia yang dibicarakan di Sweden ketika ini, atas tuduhan memukul dan mendera anak-anak mereka, begitu merindui ibu bapa mereka, Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal.

Perasaan mereka diluahkan dalam buku yang akan dibawa ke negara itu oleh Duta Malaysia di Sweden Datuk Badruddin Ab Rahman yang mengunjungi mereka di sini Selasa.

"Mereka meluahkan dalam buku apa yang mereka rasakan untuk disampaikan kepada ibu bapa mereka di sana. Saya akan beritahu kepada ibu bapa mereka (melalui Badaruddin) bahawa mereka dalam keadaan sihat dan mereka nampak benar-benar rindukan ibu bapa mereka," kata Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin yang melawat empat beradik itu di rumah keluarga mereka di sini bersama Badruddin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan mengikuti perkembangan empat beradik itu.

Azizul Raheem dan Shalwati didakwa di mahkamah di Sweden, atas tuduhan memukul dan mendera keempat-empat anak mereka dalam beberapa insiden sepanjang tiga tahun sejak September 2010 sehingga Disember tahun lalu.

Hamzah telah membawa pulang ke tanah air empat beradik itu bulan lepas.

Sementara itu, empat beradik berkenaan masih berdepan dengan masalah penguasaan Bahasa Melayu di sekolah.

Aisyah Azizul Raheem, 14, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala, Melor manakala Ammar (12), Adam (11) dan Arif (7) pula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Padang Kala sejak 9 Februari lalu.

Aisyah berkata dia dan adik-adiknya masih belum dapat memahami secara menyeluruh Bahasa Melayu.

"Persekolahan kami semuanya ok...tapi bila cikgu bercakap dalam Bahasa Melayu, saya masih tak faham," katanya kepada pemberita selepas kunjungan Hamzah dan Badruddin.

Tags / Kata Kunci: sweden , anak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan