MoU Air Selangor Fokus Projek Langat 2 Tangani Bekalan Air - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 3 Mac 2014 5:39 PM

Muhyiddin Yassin

Muhyiddin Yassin.

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri air Selangor lebih tertumpu kepada usaha memastikan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dapat dilaksanakan, bukannya berkenaan kenaikan tarif air.

Timbalan Perdana Menteri berkata, MoU antara kerajaan persekutuan dan Selangor itu lebih menumpukan perkara penting seperti tarikh mula kerja, pengambilan lebih 75 keping tanah dan pelantikan kontraktor.

"Itu saya tak tahu (kenaikan tarif air), setakat ini kita hanya bincang peringkat penting bagi memastikan masalah kekurangan air di Lembah Klang dapat diatasi segera.

"Pada saya ini perkara yang lebih utama, walaupun soal tarif air juga penting tetapi oleh kerana pengurusan air adalah di bawah kerajaan negeri, maka terlalu awal untuk saya katakan ada peningkatan atau sebaliknya ," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jentera pilihan raya kecil (PRK) Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di pejabat Umno Hulu Langat di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli pada Isnin bahawa perjanjian itu berkemungkinan akan menyebabkan berlakunya kenaikan tarif air.

Muhyiddin berkata, perkara penting yang perlu dilakukan sekarang adalah memastikan perjanjian ditandatangani dapat dilaksanakan segera supaya pelaksanaan bekalan air yang lebih baik dan mencukupi dapat dilakukan.

"Soal tarif air mungkin akan dibincang kemudian tetapi soal utama ketika ini ialah bagaimana untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air," katanya.

Berhubung keadaan cuaca panas dan berjerebu melanda beberapa negeri ketika ini, Muhyiddin menasihatkan orang ramai supaya mematuhi nasihat dikeluarkan Kementerian Kesihatan bagi memastikan mereka kekal sihat.

Untuk mengatasi masalah kebakaran hutan, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara bersiap sedia untuk menggerakkan segala peralatan sekiranya keadaan memerlukan.

"Kita kena gerakkan segala peralatan, walau terpaksa mengeluarkan perbelanjaan...kita tetap perlu beri keutamaan dan ini adalah keutamaan yang kerajaan tekankan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan