Jangan Banding LCCT dengan KLIA2

Diterbitkan: Isnin, 24 Februari 2014 3:25 PM

Abdul Aziz (kiri) menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kepulauan Solomon di Malaysia, Victor Samuel Ngele di pejabatnya pada Isnin.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi meminta semua pihak tidak membuat perbandingan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijadualkan dibuka pada 2 Mei ini dengan Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Rendah (LCCT).

Beliau berkata, LCCT pada masa ini sudah tidak memberi keselesaan kepada rakyat mahupun penumpang maka pembinaan KLIA2 adalah tepat pada masanya.

"KLIA2 dengan kos RM4 billion ini masih dianggap termurah di dunia jika dibandingkan dengan lapangan terbang lain di dunia.

"Dan LCCT yang kita bina sebelum ini merupakan satu terminal sementara untuk satu lapangan terbang yang kekal (KLIA2).

"KLIA2 akan menyediakan kemudahan canggih dan berkualiti. Saya yakin rakyat mahukan lapangan terbang yang berkualiti. Jadi, jangan bandingkan KLIA2 dengan LCCT," katanya ketika ditemui mStar Online selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kepulauan Solomon di Malaysia, Victor Samuel Ngele di pejabatnya di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes di akaun Twitternya berkaitan dengan KLIA2.

Antara kenyataan Tony adalah mengenai kos projek KLIA2 yang ditunda selama tiga tahun sebanyak RM4 billion berbanding kos LCCT hanya RM250 juta, dan KLIA2 sepatutnya menggunakan kos yang rendah.

Mengenai kenyataan Tony bahawa kadar cukai lapangan terbang adalah apa yang dibayar penumpang untuk kemudahan lapangan terbang, Abdul Aziz berkata, kadar cukai itu masih sama meskipun operasi akan berpindah ke KLIA2.

"Cukai lapangan terbang di LCCT adalah RM32. Dan apa yang dikenakan di KLIA2 nanti juga masih sama, tak berubah," katanya.

Abdul Aziz berkata, pembinaan dan operasi lapangan terbang melibatkan kepentingan bersama dan bukan hanya satu syarikat penerbangan semata-mata.

Jelasnya, pengurusan lapangan terbang turut melibatkan keselamatan dan peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Dalam pengurusan lapangan terbang, ia tidak boleh hanya melibatkan satu 'stake holder '. Kita tidak hanya mendengar pandangan daripada satu syarikat penerbangan tetapi juga pandangan daripada keselamatan.

"KLIA2 bukan hanya untuk AirAsia sahaja tetapi juga syarikat-syarikat penerbangan lain, malah syarikat penerbangan antarabangsa pun akan menggunakan lapangan terbang ini.

"Maknanya, pengurusan lapangan terbang ini menggunakan satu sistem yang digunapakai oleh semua syarikat penerbangan. Malah sistem yang digunapakai di KLIA2 adalah sama dengan sistem di KLIA, yang terbukti kelancarannya.

Abdul Aziz sebelum ini berkata, kerja-kerja pembinaan KLIA2 di Sepang kini hampir 100 peratus siap dan kerajaan yakin terminal penerbangan tambang rendah terbesar di Asia itu akan dapat dibuka mengikut jadual pada 2 Mei depan.
Tags / Kata Kunci: klia2 , KLIA2 , aziz kaprawi , KLIA , LCCT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan