Pemberian BR1M Ikut Syariah Islam - PM

Diterbitkan: Isnin, 24 Februari 2014 11:04 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kiri) beramah-mesra bersama penerima-penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) pada majlis Penyampaian BR1M 3.0 Parlimen Pekan, di Pekan, Ahad. 
Seramai 1,000 penerima yang berkelayakan dari penduduk Parlimen Pekan menerima BR1M pada hari ini.
Semalam kerajaan mula mengagihkan BR1M 3.0 kepada tujuh juta penerima seluruh negara yang membabitkan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion.
 -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan adalah selaras dengan syariat Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil memetik sepotong hadis, Najib berkata Islam menggalakkan umatnya membantu meringankan bebanan yang ditanggung orang lain termasuk melunaskan beban hutang.

"Seorang sahabat Rasulullah SAW pernah bertanya kepada baginda, Ya Rasulullah siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai Allah. Jawab Rasulullah manusia yang paling dicintai ialah manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain, menggembirakan manusia lain dengan melunas hutang orang tak mampu bayar, beri makan kepada orang kelaparan dan berjalan untuk membantu orang yang susah, itu lebih baik daripada beriktikaf selama sebulan di masjid.

"Saya tahu ada orang yang bayar hutang apabila mendapat bantuan BR1M ini, kita tolong orang lunas hutang, besar pahala yang kita dapat," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian BR1M Parlimen Pekan di Dewan Seri Perdana Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM) di sini, Ahad.

Di majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan bantuan kepada 1,000 penerima daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Peramu Jaya, Bebar dan Pulau Manis. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib berkata, beliau tidak kisah dengan sikap pembangkang yang sentiasa mengutuk kerajaan walaupun langkah yang dilakukan kerajaan itu memberi manfaat kepada rakyat.

"Kita pegang pada hadis, Insya-Allah apa yang kita lakukan akan diredai Allah," katanya.

Najib berkata, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diletakkan sebagai keutamaan tertinggi dalam pertimbangan kerajaan.Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan perlu memperkukuhkan ekonomi negara untuk mengelak daripada berhadapan situasi terpaksa meminjam untuk perbelanjaan negara.

"Ia tidak banyak beza dengan mengurus rumah tangga, jika kita terpaksa pinjam daripada pihak lain sama ada insitusi kewangan, koperasi atau paling parah pinjam daripada ah long kerana tak cukup pendapatan, maka kita akan berhadapan dengan situasi yang parah," katanya.

Menurutnya, ekonomi negara pada masa kini berada di tahap yang baik dengan pertumbuhannya berada di paras sederhana tinggi, lebih baik berbanding kebanyakan negara.

Namun, katanya, masih ramai yang tertanya-tanya dengan langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak dan menghapuskan subsidi gula dalam keadaan sedemikian.

"Ramai yang tertanya-tanya kenapa pula perlu naik harga minyak dan hapus subsidi gula seolah-olah membebankan rakyat dalam keadaan ekonomi pada masa kini," kata Najib.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa jumlah pembayar cukai di negara ini tidak ramai sedangkan perbelanjaan kerajaan bertambah setiap tahun.

"Setiap tahun kita perlu tambah penjawat awam, rekrut ribuan jadi guru, jururawat, polis dan tentera dan kalau kita tambah penjawat awam, perbelanjaan juga meningkat, sedangkan hasil tidak bertambah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu melakukan rasionalisasi subsidi dan subsidi bersasar untuk memastikan hanya golongan yang berpendapatan rendah sahaja menerima manfaatnya iaitu menerusi BR1M sekali gus mengawal perbelanjaan serta memperkukuh ekonomi negara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan