Polis Pantau Perjumpaan Parti Politik Luar Di Negara Ini - KPN

Diterbitkan: Selasa, 18 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khalid Abu Bakar.
Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Polis memantau sebarang aktiviti atau perjumpaan parti-parti politik luar negara di Malaysia terutama yang mempunyai agenda di sebalik konflik politik di negara masing-masing.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakpuasan hati sesetengah pihak sehingga membawa kepada berlakunya kejadian jenayah di negara ini.

"Sudah tentu aktiviti-aktiviti mereka akan dipantau dengan rapi...itulah sebab kenapa kita tidak menggalakkan mereka mengadakan perjumpaan di sini tetapi ini adalah sebuah negara bebas. Sesiapa yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah boleh memasuki negara ini," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Profesor Negara di Bukit Aman di sini , Selasa.

Khalid berkata demikian ketika mengulas cubaan bunuh dengan menembak dua pemimpin parti politik Myanmar termasuk Pengerusi Parti Pembangunan Kebangsaan Rakhine (RNDP), Dr Aye Maung di kawasan Bukit Bintang, minggu lepas.

Tindakan itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap siasatan yang dikendalikan beliau berkaitan konflik antara penganut Islam dan Buddha di Rakhine dan Yangon, Myanmar.

Dalam pada itu, Khalid meminta orang ramai tidak mempercayai khabar angin bahawa Sarawak berkemungkinan berdepan ancaman gerakan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pimpinan Nur Misuari yang baru saja mengumumkan akan mewujudkan Republik Bangsamoro.

"Maklumat yang kami terima Nur Misuari ini dia sakit...oleh itu jangan dengar khabar angin. Kami sedang memantau rapi perkembangan di Selatan Filipina.

"Bukan sahaja di Sarawak, di pantai timur Sabah juga kita pastikan keselamatan di sana terjamin," katanya.

Mengenai perjumpaan kali pertama itu, Khalid berkata ia bertujuan mendapatkan pandangan tentang keselamatan negara, berkongsi input atau idea dengan anggota majlis itu bagi mempertingkatkan tahap keselamatan negara.

"Kita setuju untuk berkolaborasi, tubuhkan kumpulan kerja untuk membincangkan aspek keselamatan dan kepolisan. Minta nasihat dan pandangan mereka mengenai tindakan-tindakan untuk menghadapi ancaman keselamatan di negara ini," katanya.

Sementara itu Prof Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid berkata anggota majlis itu yang berjumlah 2,000 orang terdiri daripada profesor dari Institusi Pengajian Tinggi swasta dan awam, akan berkongsi pengalaman dalam bidang masing-masing seperti ekonomi dan keselamatan dalam memelihara keamanan negara ini.

"Kami akan berganding bahu dan menyumbang buah fikiran bagaimana kita boleh membantu polis dalam menjaga keamanan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan