Muhyiddin Adakan Lawatan Rasmi Tiga Hari Ke Kemboja Esok - Berita Semasa | mStar

Muhyiddin Adakan Lawatan Rasmi Tiga Hari Ke Kemboja Esok

Diterbitkan: Selasa, 18 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin Yassin.

PHNOM PENH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi sulung ke Kemboja selama tiga hari mulai Rabu bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara khususnya dalam sektor perdagangan.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Kemboja Sok An pada Khamis.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja Raszlan Abdul Rashid berkata ini diikuti mesyuarat Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dengan Menteri Pelajaran, Belia dan Sukan Dr Hang Chuon.

Pada Jumaat, beliau dijadual mengadakan perbincangan dengan seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Keat Chhon, yang juga penasihat Perdana Menteri bagi kewangan dan ekonomi, katanya kepada pemberita Malaysia di sini Selasa.

Selain meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Kemboja, beliau berkata pertemuan itu bakal memberi lonjakan baharu kepada bidang ekonomi, pendidikan, pelancongan dan pembangunan modal insan antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

"Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat meja bulat bersama kapten industri Kemboja bagi membolehkan masyarakat perniagaan kedua-dua negara meneroka bidang perniagaan baharu termasuk sektor pertanian," katanya.

Raszlan berkata mesyuarat itu akan mengukuhkan lagi peranan Kuala Lumpur, yang sejak 10 tahun lepas memainkan peranan besar dalam pembangunan Kemboja dengan jumlah pelaburan mencecah US$2.6 bilion menerusi penglibatan dalam industri perbankan, kewangan, pelancongan dan teknologi maklumat.

Beliau berkata hubungan dagang Malaysia-Kemboja tahun lepas mencecah US$420 juta manakala eksport Malaysia ke negara ini pula berjumlah US$235 juta tahun lepas.

Muhyiddin juga dijadual menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dalam sektor pengajian tinggi, sebagai tanda sokongan berterusan Malaysia dalam pembangunan sumber manusia di negara itu.

Dalam lawatannya, Timbalan Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan amanat kepada komuniti Malaysia pada satu majlis makan malam di sebuah hotel di bandar raya ini.

Raszlan berkata kira-kira 2,000 orang rakyat Malaysia bekerja dalam pelbagai sektor di Kemboja.

Muhyiddin dijangka pulang ke tanah air pada Jumaat. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan