Kajang: MCA Yakin Jadi Calon BN PRK Kajang

Diterbitkan: Selasa, 18 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Naib Presiden MCA Datuk Dr Hou Kok Chung yakin anggotanya akan dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan.

Walaupun belum diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, namun beliau yakin BN akan diwakili calon daripada MCA kerana parti itu bertanding di kawasan itu sebelum ini.

"Walaupun kita kalah pada pilihan raya umum lepas, khidmat kita kepada masyarakat di DUN Kajang diteruskan. Kita tidak berputus asa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis MCA Kelantan Bersama Media di sini, isnin malam.

Dr Hou yang juga Pengerusi MCA Kelantan berkata parti itu akan menggerakkan jenteranya di seluruh negara untuk membantu calon BN pada pilihan raya kecil itu.

Menurutnya maklumat yang diterimanya menunjukkan BN mempunyai peluang untuk memenangi pilihan raya itu dan kepimpinan baharu MCA yang diterajui Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai dapat memberi keyakinan kepada para pengundi di DUN Kajang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mac sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 23 Mac ini.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan