Permintaan Untuk Taska Masih Tinggi - Rohani

Diterbitkan: Isnin, 17 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rohani Abdul Karim.
Rohani Abdul Karim.

PUTRAJAYA: Masih banyak Taman Asuhan Kanak-kanak (Taksa) perlu dibina bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah ketika ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, sejumlah 3,172 Taska yang berdaftar dalam negara ketika ini didapati tidak mencukupi, akibatnya masih ada Taska tidak berdaftar yang tetap menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka.

Katanya, dalam perkara ini, para ibu bapa diminta memainkan peranan dengan bersikap lebih prihatin dan mengambil tahu lebih lanjut tentang Taska yang menjadi pilihan.

Ini kerana terdapat banyak perbezaan ketara antara Taska yang berdaftar dan tidak berdaftar terutama dari segi pemantauan dan pemeriksaan berkala oleh pihak kementerian, katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut di tiga Taska di sekitar Putrajaya.

Beliau memberi contoh sebuah daripada Taska yang diperiksa pada Isnin didapati tidak berdaftar yang banyak melanggar garis panduan yang jelas, antaranya menerima 38 kanak-kanak berbanding hanya empat pengasuh, ruang sempit yang tidak selesa, dan rekod kanak-kanak serta pekerja yang tidak dikemas kini.

Rohani berkata, ini berbeza dengan sebuah lagi Taska berdaftar yang diperiksa kemudiannya, yang didapati menerima hanya sembilan kanak-kanak, dengan pekerja lengkap berpakaian seragam kemas, dan menyediakan ruang pergerakan lebih selesa.

Katanya, sepanjang tahun lepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengeluarkan 575 surat peringatan kepada Taska yang tidak berdaftar, manakala lima Taska diarah tutup dan tiga diambil tindakan mahkamah atas pelbagai kes ketidakpatuhan mengikut Akta Taska 1984.

Menurutnya, usaha pemutihan yang dilaksanakan jabatan itu bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi lebih kepada usaha mengatasi segala kekangan dan masalah yang dihadapi pengusaha Taska untuk mendaftar dengan pihak kementerian.

Beliau berkata, JKM akan sentiasa berusaha meningkatkan lagi pemeriksaan bagi memastikan semua Taska berdaftar dengan pihak kementerian, dan garis panduan penubuhannya sentiasa dipatuhi.

Sementara itu, Rohani berkata, beliau meletakkan sasaran penubuhan sekurang-kurangnya 800 Taska baharu tahun ini sebagai Petunjuk Prestasi Utama kementerian. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan