Pembantu Imam Temui Daging Khinzir Di Masjid

Diterbitkan: Isnin, 17 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang mahu menunaikan solat Subuh di Masjid Cherok Tok Kun Atas, Machang Bubok di sini, terkejut apabila menemui seketul daging yang mencurigakan di hadapan pintu masjid pada Ahad.

Mengesyaki ketulan sebesar dua tapak tangan orang dewasa itu daging khinzir, Saad Arop, 78, yang juga pembantu imam masjid berkenaan membuat laporan polis, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah.

"Berdasarkan ciri daging itu, polis percaya ia daging khinzir dan kita akan hantar sampelnya ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk diuji bagi mengesahkan jenis daging berkenaan," katanya dalam sidang media selepas lawatan ke masjid itu.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan baling itu dibaling dari luar masjid memandangkan masjid tersebut bersebelahan jalan raya.

Katanya polis juga percaya daging itu dibaling tidak sampai sejam sebelum ditemui pada pukul 5.30 pagi kerana keadaannya yang masih merah.

Mazlan berkata motif kejadian masih disiasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi balai polis berdekatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tempat ibadat dengan niat untuk mengaibkan.

"Saya minta semua pihak bertenang dan jangan cuba buat sebarang spekulasi atau menimbulkan kekacauan berhubung kejadian berkenaan, biar polis siasat dan saya beri jaminan kita akan menyiasat segera dan mengambil tindakan tegas" katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam Datuk Musa Sheikh Fadzir yang ditemui pada satu majlis berasingan di sini, berkata pihaknya mengecam keras perbuatan biadab pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

"Kita harap polis dapat menyiasat dan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perkara berkenaan. Kita bimbang jika dibiarkan berlarutan akan menimbulkan suasana tegang," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan