PDRM Tubuh Jabatan Integriti & Pematuhan Standard

Diterbitkan: Isnin, 17 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, sebuah jabatan baharu bagi memantapkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk berkaitan tata tertib para anggotanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin berkata jabatan itu dijangka bakal beroperasi dalam masa dua bulan lagi dengan pengarahnya berpangkat pesuruhjaya.

"Jabatan ini sudah diluluskan secara dasar...pada ketika ini kita dalam peringkat perundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan perjawatan," katanya.

Jabatan ini dijangka akan dapat memantapkan lagi pematuhan SOP dalam semua bidang penugasan termasuk hal tata tertib atau disiplin anggota, katanya selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Aman di sini.

Beliau berkata sebelum ini bahagian tata tertib anggota polis diletakkan di bawah Jabatan Pengurusan.

Pada majlis itu, Khalid menyaksikan penyerahan tugas Pengarah Jabatan Pengurusan daripada Datuk Mortadza Nazarene yang dilantik sebagai Pengarah JSJK kepada Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, bekas Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi dan Keganasan). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan