Isu Air: Rafizi Bidas Syabas Tidak Efisyen, Sering Salahkan Cuaca

Diterbitkan: Isnin, 17 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Isnin membidas Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang menggunakan cuaca sebagai alasan berhubung isu bekalan air di Selangor.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab membekalkan air kepada berjuta-juta pengguna, Syabas perlu lebih efisyen dan berusaha melakukan penambahbaikan daripada berterusan memberi alasan.

"Alasan Syabas begitu mudah. Syabas tidak mahu lebih pro-aktif untuk bantu rakyat dan menyalahkan keadaan alam semulajadi.

"Syabas sepatutnya melakukan penambahbaikan untuk memenuhi keperluan pengguna," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Ahli Parlimen Pandan ini berkata beliau difahamkan bahawa terdapat kaedah kimia atau kaedah pemprosesan lain yang boleh digunakan oleh Syabas untuk mengatasi masalah bekalan air yang berlaku di Selangor.

Katanya, syarikat tersebut hanya perlu mengeluarkan belanja yang 'lebih sedikit' untuk mengatasi masalah ini.

"Tak mahal mana, saya difahamkan (kos) hanya kira-kira setengah juta ringgit," katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa masalah seperti ini hanya berlaku di Selangor, tidak di negeri-negeri lain.

Kemelut air di Selangor berterusan apabila Loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi milik Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga), ditutup akibat kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat.

Penutupan menyebabkan banyak kawasan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mengalami gangguan bekalan air dan air terpaksa dicatu di beberapa kawasan, termasuklah kawasan Pandan.

Kandungan ammonia yang tinggi dikaitkan dengan cuaca semasa yang mengalami kemarau.

Paras ammonia yang dibenarkan di LRA adalah 1.50PPM (part per million).

Mengulas lanjut Rafizi berkata beliau akan bertemu dengan pegawai-pegawai Syabas untuk membincangkan perkara ini pada Rabu, selain membawanya ke Parlimen.

Beliau bagaimanapun berharap dapat mengadakan perbincangan dengan orang yang sepatutnya dan dapat memberi jaminan untuk menangani isu ini.

"Saya tak mahu berbincang dengan pegawai-pegawai yang hanya 'menurut perintah'.

"Ini masalah CEO yang perlu jawab," katanya.

Beliau turut membidas Syabas yang hanya menyediakan sembilan buah lori untuk membekalkan air kepada seluruh kawasan yang terjejas.

Sementara itu, Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) telah mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia mengenai kandungan ammonia di LRA.

"Satu surat akan dikeluarkan kepada Syarikat Perkhidmatan Air Negara (Span) untuk membenarkan loji memulakan semula operasi.

"Kita telah berbincang dengan doktor, untuk jangka masa pendek, asalkan air itu dididihkan, ia masih selamat digunakan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan