Industri Kreatif Berpotensi Sumbang Kepada KDNK Negara - PM

Diterbitkan: Isnin, 17 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan terus memberi penekanan untuk membangunkan Industri kreatif yang berpotensi besar untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Beliau berkata, industri kreatif Malaysia hanya menyumbang 1.3 peratus kepada KDNK berbanding negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun yang menyumbang lima hingga tujuh peratus kepada KDNK.

Oleh itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM200 juta dalam Belanjawan 2012 untuk melonjakkan industri kreatif negara ini.

“Saya melihat industri kreatif memang ada potensi yang amat besar untuk menyumbang kepada KDNK negara.

“Pada majlis hari ini, kita memberi pinjaman mudah berjumlah RM21 juta kepada 15 syarikat. Ini merupakan fasa pertama. Fasa kedua akan menyusuri pada akhir tahun ini,” katanya pada majlis penyampaian skim kewangan kepada 15 syarikat di Kompleks Perdana Putra di sini, Isnin.

Lima belas syarikat itu ialah ArtCube (Seni Visual), Clothier Creation -Khoon Hooi (Fesyen), Akarkarya (Muzik), MyPAA (Seni Persembahan), Accurve Studios (Permainan Video), DragonSlate (Perfileman), Comoddity (Fesyen), Pearly Wong Collection (Fesyen), Point College (Akademi Kreatif), Fern Design (Fesyen), dUCK (Fesyen ), Platinum Unik (Kraf tangan Orang Asli), Masakini theatre (Seni Persembahan) dan Legau Sudin (Kandungan Kreatif).

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative), Johan Ishak dan Pengerusi MyCreative, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan.

MyCreative merupakan antara cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat untuk meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi menerusi kewangan strategik dan inovatif, sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman.

Selain menyumbang kepada KDNK, Najib berkata industri kreatif juga memperkenal identiti dan jati diri sesebuah negara kepada dunia luar.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, Korea Selatan yang memberi tumpuan berteknologi tinggi dalam bidang budaya dan kreativiti, berjaya meletakkan K-Pop sebagai bidang popular di seluruh dunia dan sekali gus menaikkan imej negara mereka.

“Kita memang boleh mencapai status sama (seperti Korea Selatan). Saya yakin apa yang kita lakukan hari ini bukan satu titik tolak, malah satu usaha berterusan ke arah mencapai apa yang kita harapkan iaitu meletakkan industri kreativiti pada tahap lebih tinggi,” katanya.

Najib berkata, kerajaan memilih untuk memberi sokongan, dokongan dan bantuan kepada industri kreatif kerana mahu membantu menterjemahkan kreativiti rakyat Malaysia kepada bentuk kegiatan yang mampan dan berdasarkan model perniagaan yang boleh memberi pulangan bestari.

“Idea timbul untuk memperkenal dana yang tidak terlalu mementingkan rekod lepas, tetapi lebih kepada potensi dan nilai kreativiti bagi membantu mereka yang sukar mendapatkan pinjaman daripada bank untuk menjalankan perniagaan.

“Walaupun ia berisiko, kita perlu memberi peluang dan mengambil risiko untuk mengembangkan bakat para belia dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Johan yakin skim kewangan RM200 juta itu akan disalurkan kepada pemohon yang layak selewat-lewatnya tahun depan, namun bergantung kepada pelan perniagaan yang dibentangkan kepada jawatankuasa yang ditubuhkan.

“Kita akan menganalisis setiap pelan perniagaan dengan teliti. Sejak dilancarkan, MyCreative masih lagi menyemak dan menilai lebih 100 permohonan yang diterima. Kita sedia memberi kelonggaran untuk membolehkan pemohon yang berminat menjalankan perniagaan,” katanya.

Johan berkata, MyCreative mengenal pasti tujuh cabang industri seni kreatif bagi tujuan skim kewangan iaitu seni visual, seni persembahan, muzik, sastera, kandungan kreatif, fesyen dan rekaan serta seni tradisional dan kebudayaan.

Beliau berkata, pemberian dana melalui skim ini juga berbeza mengikut pelan perniagaan yang dibentangkan dan sama ada perniagaan berjalan di dalam atau di luar negara.

“MyCreative akan lebih agresif dalam mencari pelaburan yang berpotensi menerusi perkongsian dan kerjasama komprehensif dan strategik dengan penggiat industri,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Farid yakin pakej kewangan yang disampaikan kepada 15 syarikat pada Isnin dapat menjadi pemangkin untuk mendorong gerakan keusahawanan dalam kalangan penggiat industri kreatif dan sekali gus mencetus semangat keusahawanan dalam kalangan penggiat industri yang lain. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan