Kementerian Sedia Bantu Baikpulih Rumah Mangsa Banjir

Diterbitkan: Ahad, 16 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BELUD: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersedia membantu membaikpulih rumah mangsa banjir selepas mendapat taksiran kerugian yang ditanggung mereka.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya akan menyediakan keperluan untuk rakyat di seluruh kawasan yang dilanda banjir selaras dengan peruntukan disediakan kerajaan.

"Kita akan siasat dan kita ada agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyediakan bekalan makanan dan stok data mangsa banjir," katanya kepada pemberita di sini, Ahad. Beliau berkata pihaknya akan membantu mangsa banjir selepas musim itu berakhir bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

"Ini kerana berdasarkan pengalaman lepas semasa menghadapi banjir di Kedah, kita telah membaik pulih rumah dan gelombang kedua datang. Kita akan bantu selepas menerima maklumat yang lengkap di semua kawasan yang terlibat," katanya.

Beberapa negeri menghadapi banjir teruk sejak akhir tahun lepas termasuk Sabah yang kini menghadapi gelombang banjir ketiga di beberapa daerah iaitu Beaufort, Keningau dan Tenom.

Terdahulu, Mohd Shafie merasmikan pembinaan Loji Rawatan Air Kota Belud bernilai RM36 juta yang mampu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air terawat di sekitar daerah itu.

Beliau berkata loji yang siap pada 5 April tahun lepas itu dapat menampung kira-kira 22 juta liter air sehari yang memanfaatkan 6,500 penduduk di lebih 50 buah kampung di daerah ini.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan